Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menggantikan Meja Resolute berusia 145 tahun di Oval Office White House dengan Meja C&O, yang dikatakan sebagai pertukaran sementara.
Memetik laporan NDTV, keputusan ini dibuat selepas insiden melibatkan anak Elon Musk, yang mencuri perhatian ketika kunjungannya ke White House.
Kanak-kanak berusia empat tahun itu dilihat membuat bunyi aneh dan memicit hidungnya berhampiran meja ikonik itu.
Trump yang sebelum ini mengaku sebagai seorang germophobe (individu yang geli akan kuman dan kotoran), memuat naik gambar meja baharu dan menjelaskan bahawa Meja Resolute berusia 145 tahun itu sedang dibaiki.
“Seorang Presiden selepas pilihan raya boleh memilih satu daripada tujuh meja. Meja C&O ini pernah digunakan oleh Presiden George H.W. Bush dan lain-lain. Ia dipasang sementara di White House sementara Meja Resolute menjalani proses pemulihan ringan.”
Artikel berkaitan: Penguatkuasaan Imigresen Trump: 435 Warga Malaysia Dalam Senarai Pengusiran
Artikel berkaitan: Pentadbiran Trump Nama Semula Teluk Mexico, Kini Dikenali Sebagai Teluk Amerika
Meja Resolute ialah hadiah Ratu Victoria kepada Presiden Rutherford B. Hayes pada tahun 1880 dan ianya telah digunakan oleh hampir semua presiden sejak itu. Kali pertama ia ditempatkan di Pejabat Oval adalah atas permintaan John F. Kennedy pada 1961.
Walaupun tiada pengesahan rasmi bahawa pertukaran meja ini berpunca daripada insiden anak Elon Musk, ia tetap mencetuskan spekulasi hangat.