Nampaknya, isu bendera Indonesia yang dicetak terbalik baru-baru ini untuk Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 masih belum reda. Baru semalam kami laporkan mengenai laman sesawang di Malaysia yang digodam hackers Indonesia, hari ini lain pula kisahnya.
Menurut sebuah laman portal Indonesia, seorang lelaki dari Surakarta (ataupun dikenali sebagai Solo), Indonesia telah memasang bendera Jalur Gemilang pada belakang kereta sedan miliknya dan memandu ia ke serata bandar. Bendera tersebut dengan sengaja telah dicetak terbalik, sama seperti apa yang berlaku kepada bendera Indonesia di dalam buku panduan Sukan SEA.
Berikut video kejadian tersebut:
Tindakan lelaki yang bernama Bambang Saptono itu berjaya menarik perhatian media. Menurutnya, dia amat bersedih dengan kesalahan cetakan pada bendera Indonesia dan mengambil hal berkenaan sebagai penghinaan kepada negaranya.
“Aksi ini saya lakukan sebagai respon kepada bendera kami yang diterbalikkan semasa acara Sukan SEA di Malaysia. Sukan SEA acara besar, berbagai negara Asean yang terlibat. Kalau terjadi hal seperti itu, ia sangat-sangat provokatif,” kata Bambang.
“Memang saya sengaja terbalikkan bendera Malaysia, kemudian letakkan di kereta dan saya pakai untuk jalan-jalan di Kota Solo sambil pulang ke rumah saya,” tambahnya lagi.
Tidak cukup dengan perlakuannya itu, Bambang juga meminta kerajaan Malaysia untuk memohon maaf kepada Indonesia dan jikalau boleh, dia mahu permohonan maaf itu dilaporkan oleh semua media dari negara yang terlibat di dalam Sukan SEA. Amboi melebih betul tu!
Malah penyokong Indonesia yang ekstrem telah memuat naik gambar Yang Di Pertuan Agong dan Perdana Menteri di laman Instagram dalam keadaan terbalik.
Ada juga di antara mereka telah mengubah bahagian hidung pemimpin-pemimpin ini dengan muncung khinzir menggunakan teknik superimposed. Walau bagaimanapun, gambar-gambar tersebut sudah dipadam Instagram.
Sungguhpun Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah bertemu dengan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi untuk memohon maaf, masih terdapat segelintir rakyat Indonesia yang masih ‘panas’ dengan isu tersebut. Yang lepas tu lepas lah kan. Usah dikenang-kenang lagi…
Nampaknya isu ini akan berpanjangan jikalau rakyat Indonesia tidak berhenti menyalahkan pihak kita. Buang yang keruh dan ambillah yang jernih…
Baca: 15 Laman Sesawang Malaysia Digodam Indonesia Gara-gara Insiden Salah Cetak Bendera