Sehingga hari ini, kes melibatkan pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir masih belum reda dan terus mendapat perhatian masyarakat.
Terkesan dengan tragedi tersebut, bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah, rakan-rakan sekolah, guru-guru dan seluruh komuniti di Papar, Sabah.

“Tiada kata yang mampu mengubat luka kehilangan ini. Seorang anak yang penuh harapan telah pergi dan kita semua telah gagal melindunginya,” katanya di laman Facebook.
Menurutnya, kes ini bukan sekadar berita, tetapi tamparan kepada seluruh masyarakat apabila seorang murid boleh kehilangan nyawa di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuknya, iaitu sekolah.
Beliau menegaskan bahawa tragedi ini perlu menjadi titik perubahan.
Antara cadangan beliau termasuklah menambah bilangan kaunselor dan warden asrama sepenuh masa di sekolah, serta menyediakan saluran aduan yang mudah diakses oleh murid.
Artikel berkaitan: SKMM Siasat Individu Sebar Maklumat Palsu Kes Zara Qairina
Artikel berkaitan: Proses Bedah Siasat Jasad Zara Qairina Libatkan 4 Orang Pakar Patologi Termasuk Seorang Dari Semenanjung
Maszlee turut mencadangkan penubuhan platform aduan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan murid membuat aduan secara selamat, dipantau guru kelas dan guru kaunseling.
“Teknologi ini boleh memberi amaran awal tentang kebarangkalian berlakunya insiden buli dan cara mengelakkannya.
“Selain itu, latihan wajib untuk guru dan kakitangan sekolah bagi mengenal pasti tanda awal buli, penderaan dan tekanan emosi juga perlu dilaksanakan.
“Konsep “jika nampak atau dengar buli, laporkan segera” mesti dibudayakan di semua peringkat,” katanya.
Beliau juga mahu penghapusan budaya buli dijadikan penilaian prestasi tertinggi pentadbir di semua institusi pendidikan, termasuk sekolah berasrama.
Maszlee berkata, setiap aduan mesti diambil serius, tanpa mengira kecil atau besar, kerana buli adalah jenayah.
Beliau menyeru semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan, pendidik, ibu bapa, NGO, media dan masyarakat untuk bersatu menghentikan budaya ‘diam demi nama baik sekolah’.
“Zara tidak akan kembali. Tetapi kita boleh pastikan tiada anak lain yang menjadi Zara berikutnya,” katanya.