in

“Warna sebagai simbol perlawanan” – Ini Maksud Di Sebalik 3 Warna Yang Digunakan Netizen Indonesia Kini

Untitled design 14

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila ramai netizen Indonesia menukar gambar profil mereka kepada warna-warna seperti biru, merah jambu dan hijau. Rupanya warna-warna ini sebenarnya telah diangkat menjadi simbol kepahlawanan, keteguhan dalam solidariti dan suara rakyat Indonesia melalui gerakan digital terbaharu iaitu #ResetIndonesia.

Melalui warna-warna ini, netizen bukan sahaja menunjukkan sokongan mereka, malah turut memperkasakan suara kolektif dalam usaha menyuarakan aspirasi dan perubahan pada negara.


Jadi gambar profil netizen Indonesia yang berwarna-warni itu membawa mesej lebih daripada sekadar trend semata-mata, tetapi diangkat sebagai tanda solidariti dan perjuangan mereka sebagai rakyat.

Jom kita tengok satu-satu warna yang diangkat sebagai simbol kepahlawanan mereka!

Resistance Blue

blue resistance

Warna Resistance Blue diambil daripada paparan ‘Peringatan Darurat’ pada 22 Ogos 2024 lalu.

Menurut GoodNewsFromIndonesia, warna biru perlawanan mula muncul ketika tercetusnya demonstrasi besar-besaran menolak PUU Pilkada pada Ogos 2024.

Ia bermula daripada sebuah gambar meme internet yang dimuat naik oleh akaun X bernama @BudiBukanIntel yang menampilkan imej Garuda Pancasila dengan latar biru serta tulis PERINGATAN DARURAT.

Sejak ia tular, warna biru itu telah dikenali sebagai ‘biru perlawanan’ yang diangkat sebagai lambang penentangan rakyat.

Artikel Berkaitan: “Apa Yang Berlaku Sebenarnya?” – Kronologi Di Sebalik Kejadian Rusuhan Di Indonesia – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: TikTok Gantung Fitur ‘Live’ Susulan Protes Yang Semakin Ganas Di Indonesia – Lobak Merah

Brave Pink 

brave pink

Warna merah jambu pula terlahir daripada inspirasi seorang wanita bernama Ibu Ana, yang berani tampil di barisan hadapan menyuarakan aspirasi rakyat pada 28 Ogos 2025 di pekarangan Parlimen DPR, Senayan, Jakarta.

Keberaniannya sempat dirakam dalam beberapa foto yang tular, menjadikan individu ini antara yang diingati dalam demonstrasi tersebut.

Dalam keadaan hujan yang lebat dengan jalan yang basah, beliau tetap teguh berdiri sambil mengibarkan bendera Indonesia, berhadapan dengan barisan polis yang lengkap dengan perlindungan.

Warna merah jambu biasanya sinonim dengan kasih sayang dan kelembutan. Namun di Indonesia, merah jambu mendapat makna baharu melalui keberanian Ibu Ana yang berdiri di barisan hadapan demi mengemudi semangat rakyat.

Hero Green

hero green

Sementara itu, warna hijau diambil daripada warna topi keledar yang dipakai oleh arwah Affan Kurniawan, seorang penunggang ojek dalam talian yang terkorban akibat kekerasan pihak berkuasa ketika demonstrasi pada malam Khamis, 28 Ogos 2025 di Jakarta.

Warna ini dipilih sebagi tanda penghormatan terhadap jasanya, di samping menjadi simbol solidariti kepada rakan-rakan ojek dalam talian lain yang sentiasa cekap berkhidmat untuk rakyat.

Affan turut dilihat sebagai lambang rakyat kecil yang menjadi mangsa kekerasan, lalu kemunculan warna hijau ini menegaskan keperluan untuk memperkukuh gerakan solidariti agar masyarakat terus saling melindungi dan menyokong antara satu sama lain.

Memetik laporan daripada Detikjeng, warna hijau sering dikaitkan dengan unsur alam seperti tumbuhan, rumput dan pepohon. Hijau tua khususnya memberi kesan menenangkan kerana hubungannya dengan alam semula jadi.

Selain itu, warna hijau juga kerap dikaitkan dengan sifat optimis. Ia dianggap sebagai lambang harapan, rasa bertanggungjawab, serta tenaga yang tinggi. Sebab itu jugalah hijau digambarkan sebagai warna bagi individu yang berfikiran positif.

Warna sebagai simbol 

Dalam keadaan suara rakyat disekat dan kata-kata dipadam, warna tetap mampu mewakili rakyat untuk bersuara, menjadi tanda perlawanan yang tidak pernah terhenti.

Sejak dahulu lagi, warna sering digunakan sebagai lambang perjuangan. Misalnya di Palestin, apabila bendera mereka diharamkan, rakyat menggantikannya dengan buah tembikai yang menyerupai warna yang sama seperti bendera negaranya. Dari situ, buah tembikai menjadi simbol yang difahami semua orang.

Begitu juga dengan usaha gerakan #ResetIndonesia. Warna bukan sekadar hiasan dan trend semata, ia juga merupakan bahasa perjuangan, tanda identiti dan peringatan bahawa semangat melawan boleh muncul di mana-mana, walaupun melalui perkara paling kecil dan sederhana.

Sumber: CNNIndonesia, Tribunnews, WongKito.co

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.