Semenjak beberapa hari lalu, konflik antara Rusia dan Ukraine menjadi perhatian seluruh warga dunia. Menurut Menteri Kesihatan Ukraine, kira-kira 198 orang termasuk tiga kanak-kanak telah kehilangan nyawa dalam serangan ini.
Pun begitu, baru-baru ini, ada sebuah berita gembira yang dikongsikan daripada Ukraine berkenaan seorang wanita muda yang baru sahaja melahirkan bayi perempuannya ketika sedang berlindung daripada serangan Rusia di stesen metro bawah tanah.
Daily Star melaporkan, ibu berusia 23 tahun itu selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Mia pada Jumaat malam. Ketika itu, tentera Rusia masih lagi menyerang Ukraine dan menghampiri ibu kota.
Ibu terbabit yang namanya tidak didedahkan berlindung di stesen metro bawah tanah terbabit. Jeritannya meminta tolong ketika mahu melahirkan didengari oleh beberapa anggota polis yang berkawal di situ sebelum mereka menawarkan bantuan.
Gambar bayi Mia yang diambil sejurus dia dilahirkan telah viral setelah dikongsikan oleh seorang ahli politik Ukraine, Hannah Hopko. Kelahiran bayi tersebut disifatkan sebagai petanda harapan meskipun negara mereka kini sedang bergolak.
Meninjau di laman sosial pula, rata-rata netizen gembira dengan kelahiran bayi Mia. Malah, ada juga yang menyifatkan Mia sebagai malaikat kecil yang akan memberikan harapan pada seluruh warga Ukraine.
Sumber: Daily Star