Melahirkan anak bukanlah satu perkara yang mudah bagi semua wanita dan sebab itu banyak perkongsian nasihat untuk para suami agar menghargai pengorbanan isteri.
Namun, dakwaan seorang wanita yang bergelar ibu baru-baru ini telah mencetuskan perdebatan orang ramai apabila mengatakan para suami wajib membayar upah menyusu anak sebagai tanda menghargai isteri mereka.
Menurutnya, pengorbanan seorang ibu yang menyusukan anak sangat besar dan sudah tentunya lebih mahal berbanding nilai yang perlu dibelanjakan jika perlu membeli susu formula.
Hantaran itu bagaimanapun telah mendapat kecaman ramai dan rata-ratanya meminta dalil yang membuktikan bahawa dakwaan tersebut benar.
Wajib ke suami memberi upah menyusu kepada ibu?
Kenyataan wanita itu juga telah mencetuskan persoalan ramai adakah benar di dalam hukum agama, suami wajib membayar menyusu kepada isteri?
Menjawab persoalan itu, seorang pendakwah yang sering menjawab persoalan berkaitan agama di platform terbabit tampil memperjelaskan isu berkenaan.
Untuk jawapan ringkas, Muzuza berkata para suami tidak wajib untuk memberi upah menyusu kepada isteri kerana sememangnya suami wajib memberi nafkah dan tidak perlu dibebankan lagi dengan upah tambahan lain.
https://twitter.com/Muzuzxck/status/1762358699203477706
Jelasnya, setiap hukum yang dikeluarkan (wajib, sunat dan seumpamanya) perlu menelusuri asas dalil dan dalam isu ini, berkaitan dalil yang diketengahkan iaitu ayat 6 dari surah al-Ṭalaq.
“Ibn Kathīr menyatakan bahawa jika seorang wanita melahirkan anak, kemudian dia diceraikan, maka telah tamat iddah, dia boleh menyusukan anak. Juga dinyatakan bahawa walinya akan membayar upah yang telah dipersetujui.
“Abū Bakr Ibn al-ʿArabī menghuraikan khilaf ulama’ tentang siapakah yang perlu menanggung perihal menyusu. Beliau menyatakan al-Imām al-Shāfiʿī dan al-Imām Abū Ḥanīfah berpandangan tidak wajib ke atas si ibu menanggung perihal ini.
“Al-Ṭabarī menyatakan bahawa jika si ibu menyusukan si anak, maka berilah upah. Namun, al-Ṭabarī menyatakan bahawa “ibu” di sini dengan nama al-Bawāʾin iaitu mereka yang telah ditalakkan.
“Justeru, kita dapat melihat bahawa tafsiran di sini adalah melibatkan isteri yang telah diceraikan, bukanlah isteri yang masih bersama dengan suaminya.
“Begitu juga kita dapat lihat konteks bagi ayat ini adalah dalam surah al-Ṭalaq, surah yang membicarakan tentang cerai,” katanya dalam hantaran panjang.
Jelasnya, ayat yang dibahaskan itu adalah berkenaan isteri yang menyusukan anak dan telah diceraikan serta sudah habis iddahnya.
Semoga para ibu diberi ganjaran syurga atas pengorbanan yang tidak ternilai…
Sumber: X