Umum mengetahui, dunia telah berjaya keluar dari pandemik Covid-19 yang meragut jutaan nyawa dari pelbagai negara. Hasil vaksinasi dan disiplin setiap individu, pandemik Covid-19 kini dikelaskan sebagai endemik.
Terkini, varian Covid-19 baharu dengan bilangan mutasi yang tinggi telah dikesan di Britain. Menurut Agensi Keselamatan Kesihatan British, mutasi BA.2.86 dikenalpasti di United Kingdom baru-baru ini pada seorang individu yang tidak mempunyai sejarah perjalanan.
Memetik laporan Astro Awani, penemuan varian terbaharu itu bermakna ada penularan komuniti yang ketara dalam kalangan rakyat Britain.
Agensi itu turut memaklumkan, pihaknya akan terus memantau penyebaran varian itu dengan teliti sementara pemeriksaan dilakukan bagi menentukan risiko yang mungkin timbul.
Seorang profesor biologi di University College London berkata, varian baharu itu adalah ‘strain Covid-19 yang paling menarik yang pernah disaksikan dunia sejak kemunculan Omicron’ dengan lebih daripada 30 mutasi berlaku.
Walau bagaimanapun, beliau berpendapat ia tidak mungkin menyebabkan gelombang penyakit dan kematian yang baharu kerana kebanyakkan individu kini mempunyai sedikit imuniti terhadap Covid-19.
Baca: Diumumkan Sebagai Wabak 3 Tahun Lalu, WHO Isytihar Covid-19 Bukan Lagi Kecemasan Global