Seorang warga emas menjadi perhatian ramai selepas gambarnya berdiri khusyuk berdoa di sisi jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara tular di media sosial baru-baru ini.
Memetik laporan Berita Harian, lelaki berusia 67 tahun yang dikenali sebagai Ustaz Zen hadir ke Masjid Negara sebagai penghormatan kepada Allahyarham, yang juga bekas Perdana Menteri kelima Malaysia. Beliau hadir kerana menghormati latar belakang keilmuan Islam dan keturunan ulama yang dimiliki Allahyarham.
Allahyarham Tun Abdullah, yang meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) Isnin lalu, disemadikan di Makam Pahlawan selepas majlis penghormatan terakhir di Masjid Negara.
Gambar yang menjadi tular menunjukkan Ustaz Zen, berpakaian baju Melayu kuning cair, kopiah hitam dan kain pelikat biru, berdiri berhampiran keranda yang dilitupi Jalur Gemilang. Imej berkenaan meraih perhatian kerana menggambarkan kasih dan penghormatan rakyat kepada pemimpin berjiwa sederhana.
Ustaz Zen yang menetap di Keramat, Kuala Lumpur, merupakan seorang imam dan guru agama yang telah lebih 30 tahun tinggal di Malaysia. Beliau berasal dari Pulau Bawean, Indonesia dan kini aktif mengajar al-Quran serta mengadakan kelas agama.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Ramai Sebak Tengok Keadaan Terkini Pak Lah
Artikel berkaitan: Penyampai Radio Ditegur Pakai T-Shirt Ketika Di Istiadat Pengebumian Negara
Pada hari kejadian, beliau tiba hampir waktu Zuhur dan tanpa disedari berada di hadapan ruang VIP di Masjid Negara. Dalam keadaan tenang, beliau membaca doa serta beberapa surah al-Quran sebagai tanda penghormatan.
Jurugambar Bernama, Muhammad Azlim Mansor, yang merakam detik itu dari tingkat atas masjid, berkata kehadiran Ustaz Zen menyerlah berbanding orang ramai kerana pakaian serta ketenangannya yang jelas tergambar.
Gambar yang dirakam kemudian menjadi antara imej paling ikonik dalam majlis berkenaan, memberi simbolik yang mendalam terhadap penghormatan rakyat biasa kepada pemimpin negara.