Sebuah Kapal Selam milik Tentera Negara Indonesia (TNI) KRI Nanggala-402 dilaporkan hilang dari radar dan dipercayai karam semasa melakukan latihan tembakan peluru berpandu di perairan Bali Utara dengan proses pencarian dilakukan pada kedalaman 700 meter.
Kapal selam yang dikenali dengan ‘Kapal Sejuta Umat’ ini dikatakan telah berkhidmat selama lebih 40 tahun dan ketika kejadian, membawa 53 orang yang terdiri daripada 49 orang kru, seorang komandan dan tiga orang pakar persenjataan.
Ada dua faktor penyebab kejadian, kecuaian manusia ataupun kerosakan teknikal – Pengamat Pertahanan LIPI
Kronologi Kejadian
Pada jam 3.46 pagi Waktu Indonesia Barat (22/4) , KRI Nanggala memulakan penyelaman.
4.00 pagi : Kapal meminta kebenaran untuk memulakan latihan menembak menggunakan torpedo. Ini merupakan komunikasi terakhir.
4.25 pagi : Ketika kebenaran tembakan ingin diberikan oleh Komandan Gugus Tugas, komunikasi telah putus.
7:00 pagi : Mendapat laporan dari helikopter pasukan pencari dan penyelamat bahawa ada tumpahan minyak yang dikesan.
11:30 pagi : Sidang media mengatakan mereka berjaya mengesan objek yang tidak dapat dikenalpasti berkelajuan 20 knot.
Situasi Terkini
Menurut laporan terkini BBC Indonesia , Panglima TNI Hadi Tjahjanto mengatakan kesemua kapal pencari dikerahkan untuk operasi mencari KRI Nanggala-402 selain mendapat bantuan dari beberapa buah negara lain termasuk Malaysia dan Singapura.
Menurut kenyataan TNI Angkatan Laut, analisa awal menunjukkan ada kemungkinan berlakunya gangguan bekalan elektrik semasa selaman dibuat. Ini mungkin salah satu sebab kapal berkenaan menyelam lebih dalam dari keupayaannya.
KRI Nanggala – 402 merupakan salah satu daripada 5 buah kapal selam yang dimiliki oleh Indonesia yang dibuat di Jerman pada tahun 1977. Menurut laporan Reuters, telah diperbaharui pada tahun 2012.
Ini merupakan kejadian pertama sebuah kapal selam hilang di Indonesia dan kes kehilangan kapal selam merupakan kes terpencil di seluruh dunia.
Sumber : BBC Indonesia