Sering kali kita membaca berita ramai yang tertipu dengan skim cepat kaya sehinggakan mereka kehilangan ribuan ringgit. Situasi ini bukan sahaja berlaku terhadap orang biasa, malah selebriti atau ikon dunia turut tidak terkecuali menjadi buruan penipu.
Terbaharu, atlet tersohor dunia Usain Bolt dilaporkan telah menjadi mangsa penipuan sebuah firma pelaburan swasta di Jamaica. Difahamkan, jaguh pecut dunia ini telah mengalami kerugian lebih daripada $12.7 juta, bersamaan dengan RM54.5 juta.
Memetik laporan sumber, peguam Linton P.Gordon berkata akaun Bolt sebelum ini mempunyai baki sebanyak $12.8 juta. Namun, kini hanya berbaki $12,000 selepas menjadi mangsa penipuan firma tersebut. Akaun tersebut merupakan sebahagian daripada simpanan persaraan buat Bolt.
Peguam Bolt berkata dia akan mengambil tindakan jenayah dan sivil jika firma pelaburan tersebut tidak memulangkan wang yang diambil dalam tempoh 10 hari. Bagaimanapun, syarikat tersebut masih tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga ke hari ini.
Menerusi laman web firma tersebut, mereka meminta pelanggan untuk membuat pertanyaan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan Jamaica yang sedang menyiasat firma tersebut.
“Kami memahami bahawa pelanggan bimbang untuk menerima lebih banyak maklumat, kami memberi jaminan kepada anda bahawa kami memantau perkara itu dengan teliti sepanjang siasatan dilakukan dan akan memaklumkan pelanggan kami mengenai resolusi itu sebaik sahaja maklumat itu tersedia,” tulis firma itu di laman web.
Untuk rekod, pihak berkuasa kewangan melaporkan mereka telah mengambil alih pengurusan sementara syarikat pelaburan swasta tersebut. Bagaimanapun, syarikat itu masih dibenarkan untuk beroperasi dengan kelulusan kerajaan untuk sebarang transaksi yang mahu dilakukan.
Kredit: Bloomberg
BACA: Usian Bolt Akhirnya Dedah Nama Anaknya, Peminat Teruja Gelarkan Sebagai ‘Nama Terbaik 2020’