Baru-baru ini, tular sebuah video di media sosial memaparkan seorang wanita yang sedang berurusan di kaunter zakat fitrah. Apa yang mencuri tumpuan adalah apabila wanita tersebut dilihat seolah-olah mempertikaikan tanggungjawab membayar zakat bagi pihak anak-anaknya yang sepatutnya ditanggung oleh bekas suami.
Menerusi video yang dirakam sendiri oleh wanita itu, dia meluahkan rasa terkilan kerana terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk membayar zakat fitrah dua orang anaknya sedangkan bekas suaminya tidak menjalankan tanggungjawab tersebut.
Isu ini mendapat perhatian pempengaruh, Abang Panglima, yang tampil memberikan respon tegas terhadap tindakan wanita berkenaan. Menurutnya, kaunter zakat bukanlah tempat yang sesuai untuk membangkitkan isu hukum-hakam rumah tangga atau meluahkan perasaan tentang kegagalan bekas suami membayar nafkah.
@abang.panglima Pening amil nak kena hadap orang macam ni..
“Kaunter amil tu tempat untuk membayar sahaja, bukan tempat kau nak tanya hukum-hakam, isu rumah tangga, atau luahan perasaan tak puas hati dengan bekas laki kau,” tegas Abang Panglima dalam video reaksinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mempunyai pandangan yang berbeza. Ada yang bersimpati dengan nasib wanita tersebut yang terpaksa menanggung beban sendirian, namun ramai juga yang bersetuju dengan pandangan Abang Panglima bahawa amil hanya menjalankan tugas mengutip zakat.

Abang Panglima turut menasihati orang ramai agar lebih peka dan merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti seperti Pejabat Mufti atau Pejabat Agama Islam sekiranya mempunyai kekeliruan mengenai status hukum zakat dan nafkah.
Tindakan merakam amil yang sedang bertugas sambil bertanyakan soalan yang bersifat peribadi juga dianggap kurang sopan dan boleh menimbulkan fitnah kepada petugas tersebut.
Sumber: X
