Tidak dapat dinafikan, meskipun telah banyak teguran dan kesedaran diberikan berkaitan isu buli ini, masih banyak lagi perkara sebegini berlaku di institusi pendidikan.
Terbaru kali ini, tular sebuah video memaparkan seorang budak sekolah telah dibuli dengan teruk sekali oleh beberapa orang pelajar di dalam sebuah sekolah.
Menerusi video yang dikongsikan di Twitter, pelajar tersebut dilihat telah ditekan di bahagian muka, ditumbuk bertubi-tubi di perut dan ditendang oleh seorang pelajar lain dekat ruang sembahyang dekat sebuah surau.
Perlakuan itu pula dilihat telah dirakam secara terang-terangan oleh beberapa orang pelajar menggunakan telefon pintar.
Rupanya kes berlaku di Brunei
Susulan video yang tular itu, didapati rupa-rupanya kes tersebut telah berlaku di Brunei Darussalam dan Kementerian Pendidikan negara berkenaan telah mengeluarkan kenyataan berhubung kes berkenaan.
Berikutan video tular yang menunjukkan seorang pelajar lelaki dibuli oleh seorang lagi pelajar dengan dirakam oleh pelajar-pelajar lain di ruang sembahyang di salah sebuah sekolah di Negara ini, Kementerian Pendidikan menegaskan bahawa sebarang perbuatan buli atau boleh mencederakan atau merosakkan individu mahupun harta benda di kalangan warga sekolah adalah diberikan perhatian serius dan tidak dapat diterima sama sekali,” tulis kenyataan tersebut.
Tambahnya lagi, pihak kementerian pendidikan negara tersebut kini sedang menjalankan siasatan dan mengenalpasti individu yang terlibat. Orang awam juga diminta untuk memberikan sebarang info lanjut mengenai hal tersebut kepada pihak berkenaan.
“Buli lepas tu ambil video bagi tunjuk kat media”
Rata-rata netizen yang melihat video berkenaan telah mengecam tindakan pelajar tersebut yang dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Malah ada yang mengatakan tindakan merakam dan memuat naik video buli itu juga satu tindakan tidak wajar kerana ia seperti menayangkan kebodohan diri sendiri dalam melakukan jenayah.
Ternyata kes buli sebegini terjadi di mana-mana dan bukan sahaja di Malaysia. Harap pihak berwajib dapatlah buat sesuatu dalam menangani masalah buli ini.
Baca: Didakwa Dibuli, Didera Bapa Sendiri, Ini Kronologi Penuh Kisah Adik Maisarah…