Heboh diperkatakan mengenai sebuah gambar yang menunjukkan papan tanda kod etika pakaian yang diletakkan di sebuah pusat servis kereta di Kuantan, Pahang.
Penularan gambar tersebut telah mengundang pelbagai reaksi di media sosial, yang mana segelintir pengguna media sosial beranggapan etika pemakaian itu sebagai sesuatu yang berlebihan dan dianggap tidak wajar.
Ada juga pihak yang mengeluarkan pendapat bahawa pihak syarikat sewajarnya memberi tumpuan terhadap kualiti perkhidmatan kepada pelanggan berbanding mengehadkan kebebasan berpakaian di premis mereka.
Perodua tampil mohon maaf
Susulan itu, Ketua Pegawai Operasi Perodua JH Rozman Jaafar telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi mengenai isu terbabit.
“Pihak Perodua menyedari timbulnya isu berkaitan notis ‘kod etika pemakaian’ yang dipaparkan di Pusat Servis Perodua di Kuantan, Pahang.
“Kami ingin memaklumkan bahawa Perodua telah mengambil langkah segera dengan menarik semula notis berkenaan,” katanya.
Menurutnya, kod etika pemakaian yang dikeluarkan itu adalah tidak selaras dengan garis panduan rasmi Perodua dan pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung perkara tersebut.
“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang kami hargai di Pusat Servis Perodua berkenaan,” katanya.
Official statement from our COO of Perodua, JH Rozman Jaafar. pic.twitter.com/cH2r0kjOCF
— Perodua (@perodua) August 9, 2023
Difahamkan, pusat servis terbabit telah pun menarik balik notis berkenaan selepas penularan isu tersebut.
Menurut MalaysiaKini, pengurus perkhidmatan pusat servis itu menarik balik papan tanda berkenaan selepas melakukan perbincangan dengan ibu pejabat Perodua.
Pengurus tersebut menjelaskan notis yang dipaparkan itu hanyalah berbentuk galakan dan bukanlah diwajibkan.