Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi OIC-15 kali ke-2 yang berlangsung di Tehran, Republik Islam Iran pada 18 hingga 19 Mei 2025.
Mesyuarat yang bertemakan “Innovation in Science and Technology through Harnessing Artificial Intelligence: A Strategy for a Brighter Future in the Islamic World” telah menghimpunkan lebih 20 wakil negara anggota OIC yang komited untuk meneroka potensi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pemacu kemajuan bersama.
Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Naib Presiden Republik Islam Iran, TYT Mohammad Reza Aref, dan dipengerusikan oleh Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi Iran, TYT Hossein Simayi Saraf. Mewakili Malaysia, YB Menteri telah menyampaikan kenyataan negara yang menekankan keperluan dunia Islam mengambil pendekatan proaktif dalam membentuk hala tuju teknologi sejagat, khususnya dalam bidang AI.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa sains dan teknologi telah menjadi asas ketamadunan Islam dan kini adalah tanggungjawab bersama negara-negara OIC-15 untuk memulihkan semula kepimpinan ini melalui pendekatan yang holistik, beretika dan berteraskan nilai Islam. Sebagai sumbangan konkrit Malaysia kepada kerangka tindakan OIC-15, YB Menteri telah mencadangkan tujuh tonggak utama untuk pertimbangan bersama:
1. Reka bentuk kurikulum bersama dalam bidang AI, etika data dan kemanusiaan digital;
2. Penubuhan hab penyelidikan dan inovasi rentas negara;
3. Gerakan celik AI yang inklusif di seluruh negara anggota;
4. Penubuhan Dana Solidariti Digital OIC-15 serta Indeks Kesiapsiagaan Digital OIC;
5. Pembentukan Konsortium Keselamatan Siber OIC;
6. Penubuhan Unit Foresight OIC-15 bagi merancang masa depan teknologi Islam; dan
7. Dana Inovasi Krisis untuk menyokong komuniti terkesan seperti Gaza
Dalam sesi mesyuarat tersebut, YB Menteri turut berkongsi perkembangan Malaysia dalam merangka Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035 yang menumpukan kepada pendidikan berasaskan AI, pembelajaran sepanjang hayat serta pembangunan bakat digital. Konsep Malaysia MADANI yang berteraskan pembangunan seimbang, menyeluruh dan berperikemanusiaan juga diketengahkan sebagai model transformasi digital negara.
Malaysia turut menawarkan kerjasama dalam bentuk biasiswa, program mobiliti dan AI Fellowship bagi menyokong pembangunan bakat bersama negara anggota OIC-15. Semasa di Tehran, YB Menteri turut mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Iran, TYT Masoud Pezeshkian bersama para Menteri dan wakil negara OIC lain.
Di samping itu, satu pertemuan dua hala telah berlangsung antara YB Menteri dan TYT Hossein Simayi Saraf bagi membincangkan potensi kerjasama dalam bidang tenaga mahir, sains dan teknologi antara Malaysia dan Iran.
Mesyuarat Menteri-Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi OIC-15 kali ke-3 akan datang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi, sebagai kesinambungan kepada usaha kolektif memperkasa ummah dalam era Revolusi Industri Keempat.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI 20 MEI 2025