Dalam masyarakat, golongan warga emas sering dianggap sebagai antara golongan yang lemah dan perlu dibantu dalam menjalankan tugasan harian.
Tak dinafikan, umur mereka yang sudah lanjut mungkin membataskan sedikit pergerakan mereka namun, itu tak bermakna mereka ini tidak berdaya mempertahankan diri sendiri dan keluarga mereka.
Jom kita baca kisah lima orang nenek yang membuktikan walaupun usia sudah lanjut, tetapi diri masih lagi berbisa.
1. June Turner
Pada tahun 2019, June Turner, 82, sedang bekerja seperti biasa di sebuah kedai serbaneka di Staffordshire, United Kingdom, apabila premis itu diserbu seorang lelaki yang segera meminta Turner mengosongkan mesin wang.
Meskipun sepanjang 45 tahun dia bekerja di kedai sama dan tidak pernah mengalami kejadian seperti itu, Turner tidak gentar dan terus menolak permintaan suspek, Aaron Mountford, 28.
Tidak cukup dengan itu, Turner segera mencapai tongkatnya lalu memukul Mountford berkali-kali sehingga suspek mengalami lebam pada bahagian mata.
Korang boleh tengok video Turner pertahankan diri dia kat bawah ni:
Pun begitu, suspek berjaya melarikan diri dengan wang tunai sebanyak $61 dan enam kotak rokok sebelum dia ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun.
“Kalau benda sama terjadi lagi, saya akan tetap buat benda sama dan pertahankan diri. Mungkin lain kali saya akan guna benda yang lebih berat,” katanya.
2. Willie Murphy
Sekitar jam 11 malam pada November 2019, Willie Murphy, 82, dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki di hadapan pintu rumahnya. Lelaki berkenaan mengadu kononnya dia memerlukan ambulans tetapi dia mula bertindak ganas dengan cuba memasuki rumah Murphy secara paksa selepas wanita itu tidak membenarkannya masuk.
Murphy sempat menelefon polis sebelum suspek berjaya masuk ke dalam rumahnya. Pun begitu, Murphy yang juga merupakan juara World Natural Powerlifting Federation Upstate New York Championship pada tahun 2018 tidak hanya menunggu bantuan tiba kerana dia segera mengangkat sebuat meja lalu memukul suspek dengan objek itu.
Tidak cukup dengan itu, Murphy juga telah melompat ke atas suspek, memukulnya dengan penyapu dan menuang syampu bayi pada muka suspek.
Ketika polis tiba, suspek yang tak didedahkan identitinya itu dengan rela diri menawarkan diri untuk mengikut polis gara-gara tidak tahan dibelasah.
3. Clarese Gainey
Pada awal pagi 14 April 2019, Clarese Gainey, 65, dikejutkan dengan penampakan seorang lelaki berbadan besar sedang cuba untuk memecah masuk ke dalam kereta yang diparkirnya di luar rumah.
Media tempatan melaporkan, ketika kejadian, suspek, Antonio Mosley, 37, hanya memakai boxer sahaja sambil membawa beberapa helai pakaian di tangan.
Melihat aksi mencurigakan Mosley, Gainey tidak terus menelefon pihak polis tetapi segera mengambil kayu besbol miliknya dan membuka pintu rumah untuk menyergah suspek.
“Bila saya buka pintu, dia (Mosley) terus meluru ke arah saya. Saya pun terus pukul dia kat kepala dan dia menjerit kesakitan sebelum lari. Baju, seluar dan stokin yang dipegangnya bertaburan atas jalan,” kata Gainey.
Mosley akhirnya diberkas polis selepas unit anjing pengesan K-9 berjaya mendedahkan lokasinya. Namun, benjolan besar pada kepalanyalah yang memberikan polis jaminan bahawa dialah penjenayah yang dicari.
4. Pauline Jacobi
Jika nenek-nenek yang disenaraikan sebelum ini semuanya menggunakan senjata atau mempunyai background sebagai seorang atlet, Pauline Jacobi pula hanya menggunakan kitab Bible sebagai ‘senjatanya’.
Pada Disember 2007, Jacobi, 92, baru sahaja selesai membeli barangan dapur di sebuah Wal-Mart di Tennessee, Amerika Syarikat. Selepas selesai memasukkan barangan yang dibelinya ke dalam kereta, seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Ricky, meluru masuk melalui pintu sebelah pemandu dan mengugut Jacobi bahawa dia mempunyai sepucuk pistol lalu memintanya menyerahkan wang.
Difahamkan, Jacobi enggan patuh pada Ricky meskipun diugut dengan senjata api. Malah, wanita itu juga sempat berkata sesuatu kepada Ricky sehingga menyentuh hati lelaki berkenaan.
“Kau bunuh aku, aku akan masuk syurga dan kau akan ke neraka. Jesus ada di dalam kereta ini bersama aku dan kemana sahaja aku pergi.”
Ricky difahamkan terus menangis selepas mendengar kata-kata Jacobi itu dan memeluk wanita berkenaan sambil duduk selama 10 minit di dalam kereta sama untuk mendengar Jacobi membaca beberapa potongan ayat daripada kitab Bible.
Jacobi juga sempat menyuruh Ricky memohon keampunan Tuhan sebelum memberikan lelaki itu wang $10. Ricky berterima kasih pada Jacobi sebelum berlalu pergi.
5. Jean Ebbert
Pada Januari 2022, Jean Ebbert, 73, menerima satu panggilan telefon kononnya daripada cucu lelakinya yang baru sahaja terlibat kemalangan dan didakwa atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Pun begitu, Ebbert sedar ia adalah panggilan palsu kerana cucunya masih berada di bangku sekolah dan belum boleh memandu. Namun, nenek ini terus melayan scammer terbabit sebelum bersetuju untuk membayar ‘wang jaminan’ sebanyak $8,000.
Ketika sedang menunggu ‘wakil pengikat jamin’ datang ke rumahnya untuk mengambil sendiri wang terbabit, Ebbert yang merupakan bekas operator 911 telah menelefon polis terlebih dahulu untuk memaklumkan hal berkenaan.
Joshua Estrella Gomez, 28, akhirnya diberkas pihak polis yang sudah terlebih dahulu menyorok di dalam rumah Ebbert.
Sumber: +ListVerse
Baca: Tak Siapa Sangka, ‘Nenek’ Ini Sebenarnya Dah Bunuh 9 Orang & Tanam Mangsa Di Laman Rumah