Pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang merancang untuk mengambil alih dan menguruskan Semenanjung Gaza nyata memberikan kejutan buat seluruh dunia.
Kata Presiden Amerika ke-47 itu, dia mencadangkan untuk AS mengambil alih Gaza untuk menjadikannya sebagai ‘Riviera Timur Tengah’ dan memindahkan rakyat Palestin secara kekal dari wilayah yang dilanda perang itu ke negara Asia Barat lain.
Saranan tersebut dikemukakan semasa Trump menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington.
Pertemuan kedua-dua pemimpin itu kononnya adalah untuk membincangkan usaha mengekalkan gencatan senjata di Gaza serta merealisasikan perjanjian normalisasi Israel-Arab Saudi.
Artikel berkaitan: Trump Rancang Nak Ambil Alih Semenanjung G*za, Nak Ubah Jadi ‘Riviera Timur Tengah’
Mahu Mesir dan Jordan terima rakyat Palestin
Sebelum pengumuman mengejutkan ini, Trump sebenarnya sudah pernah mendedahkan rancangan untuk ‘membersihkan’ Gaza.
Beliau ada menyatakan mahu Mesir serta Jordan menerima rakyat Palestin dari wilayah itu dalam usaha mewujudkan keamanan di Asia Barat.
Trump menyatakan visinya untuk membina sebuah pusat peranginan bagi komuniti antarabangsa selepas lebih 15 bulan serangan udara Israel menghancurkan wilayah kecil itu dan mengorbankan lebih 47,000 orang.
“Jika perlu, kami akan melakukannya, kami akan mengambil alih kawasan itu, membangunkannya, mencipta ribuan peluang pekerjaan dan ia akan menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan oleh seluruh Timur Tengah,” katanya.
Trump berkata, Gaza akan dijadikan sebagai ‘rumah kepada masyarakat dunia’ dan meramalkan ia berpotensi menjadi ‘Riviera Timur Tengah’.
Bagaimanapun, setakat ini Trump tidak memberi butiran lanjut tentang bagaimana AS akan melaksanakan rancangan pemindahan tersebut.
‘Seperti pembersihan etnik’
Seperti yang dijangka, rancangan Trump ini dikecam hebat dari seluruh dunia termasuklah sekutu-sekutunya yang lain di Timur Tengah sehingga ada yang berpendapat, apa yang disuarakan Presiden AS itu sebagai ‘gila’ dan tidak masuk akal.
Sesetengah aktivis hak asasi manusia menyifatkan cadangan itu sebagai pembersihan etnik. Begitu juga dengan beberapa negara yang mengecam tindakan Trump ini termasuklah China, dengan menyatakan ia menentang pemindahan paksa rakyat Palestin ke negara jiran.
Manakala penduduk Gaza yang mengetahui hal itu tidak akan sesekali bersetuju menyerahkan tanah air mereka.
“Kami hanya ada satu pilihan, untuk hidup atau mati di sini.
“Mereka boleh buat apa sahaja yang mereka mahu, tetapi kami akan tetap teguh di tanah air kami,” kata penduduk Gaza.
Perkara ini juga membuatkan mereka teringat kembali detik hitam yang dikenali dunia Arab sebagai Nakba atau malapetaka.
Artikel berkaitan: Apa Itu Nakba 1948 & Kenapa Ia Merupakan Peristiwa Penting Untuk Diingati Rakyat Palestin?
Trump buat ‘u-turn’?
Susulan kekecohan yang berlaku dan sentimen seperti tidak berpihak kepada AS, diplomat tertinggi negara itu mendakwa, Trump hanya mahu memindahkan rakyat Palestin dari Gaza secara sementara.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh White House, Trump hanya ingin memindahkan kira-kira 1.8 juta penduduk Gaza buat sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan semula dilakukan.
Setiausaha Negara itu, Marco Rubio menyifatkan cadangan Trump sebagai tawaran yang ‘sangat bermurah hati’ untuk membantu dalam pembersihan runtuhan dan pembinaan semula Gaza selepas 15 bulan pertempuran antara Israel dan Hamas.
Namun, kenyataan yang dikeluarkan itu bercanggah dengan apa yang dikatakan Trump sebelum ini.
Apa yang dirancangkan Trump ini sememangnya hanya menambah kesengsaraan buat saudara kita.
Sebagai masyarakat, penting untuk kita terus cakna terhadap isu ini dan menyokong usaha damai serta pemulihan hak asasi manusia bagi rakyat Palestin.
Apa-apapun, kita mengharapkan agar rakyat Palestin dapat mempertahankan tanah air mereka daripada terus dijajah dan semoga tiada lagi pertempuran yang berlaku. Viva Palestina!
Sumber: Astro Awani, Harian Metro, Sinar Harian