Seperti yang umum sudah maklum, hari ini merupakan hari mengundi bagi pengundi awal dan menurut portal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mereka yang mengundi pada hari ini termasuklah anggota badan beruniform serta pasangan mereka.
Terbaru, seramai 24 anggota tentera terlibat dalam sebuah kemalangan di Rembau dan dua daripada mereka telah mengalami cedera parah.
Menurut laporan Astro AWANI, trak milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu terlibat dalam nahas dan terbalik ketika dalam perjalanan ke pusat pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Durian Daun, Rembau.
Seramai 18 daripada mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital dan dua daripadanya menerima rawatan di zon merah Hospital Rembau.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad menyatakan kemalangan itu membabitkan lori Regimen 11 Kor Armor Diraja Gemas yang menuju ke Port Dickson.
“Daripada maklumat awal yang diterima, trak ini dalam perjalanan ke Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson bagi tujuan mengundi awal.
Kesemua mangsa yang cedera telah pun dibawa ke Hospital Rembau untuk menerima rawatan dan siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dilakukan.” katanya.
Selain itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota, Penolong Penguasa Bomba, Ahmad Hafezze Mat Junoh berkata, enam lagi anggota tentera menerima rawatan terus di lokasi kejadian.
Baca: “Propaganda politik” – Najib Razak Nafi Akan Dibebaskan Serta-merta Jika BN Menang PRU 15