Semalam, kita dikejutkan dengan kehilangan 10 mangsa dikhuatiri lemas ketika fenomena kepala air di Jeram Mawar, Kampung Air Puteh, Terengganu.
9 daripada mereka merupakan ahli keluarga dan seorang lagi merupakan tunang kepada salah seorang ahli keluarga tersebut.
Menurut laporan Harian Metro, Putri Balqis dan Muhammad Fikri Saliman yang merupakan dua daripada 10 mangsa insiden itu, hilang dipercayai hanyut dibawa arus deras di sungat terbabit itu sepatutnya berkahwin pada bulan Disember ini.
Difahamkan, menurut ibu saudara Putri Balqis, Siti Aisyah Eiyi, kedua-dua mereka sudah melangsungkan pertunangan pada bulan Mac lalu.
“Kehadiran Muhammad Fikri adalah untuk beraya dan berkenalan dengan keluarga kami.
Saya sangat sedih dan tidak sangka Muhammad Fikri serta kakak saya, Azizah sekeluarga meninggal dalam tragedi itu,” katanya.
Siti Aisyah berkongsi pertemuan kali terakhirnya dengan Azizah ialah ketika kakaknya sekeluarga datang beraya di rumahnya yang terletak di Felda Lepar Hilir 2, Gambang.
“Azizah dan suaminya (Karim Abdullah) memang gemar membawa ahli keluarganya bercuti dan berkelah.
Anak Azizah, Muhammad Zulqarnain biasanya jarang mengikut Azizah bercuti atau keluar dari rumah kerana lebih gemar berada di rumah. Tapi kali ini Muhammad Zulqarnain terpaksa mengikut Azizah bercuti di situ,” katanya.
Lebih menyedihkan, kakaknya itu turut mengajaknya sekeluarga untuk turut serta berkelah bersama di tempat kejadian namun pelawaannya itu ditolak kerana suaminya mempunyai tugasan lain pada ketika itu.
Siti Aisyah tidak menolak kemungkinan besar dia akan terbabit dalam insiden itu dan pada masa yang sama dia juga tidak dapat membayangkan sekiranya dia serta adik beradik lain turut mengikuti perkelahan itu.
Dia merasa sedih atas insiden yang menimpa keluarganya itu namun dia tetap reda dengan apa yang berlaku.
Sama-sama kita doakan agar keluarga ini sentiasa tabah dan sabar menempuhi dugaan ini…