Seorang lelaki berumur 33 tahun meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di rumahnya di Kampung Banir Belikong, Pasir Puteh, Kelantan pada awal pagi tadi.
Menurut laporan, ketika kejadian mangsa, Tuan Mohd Zakaria Tuan Ismail, 35, terkena renjatan elektrik selepas terpegang jeriji besi pintu rumahnya yang ditenggelami banjir.
Mangsa yang merupakan seorang mekanik dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 4.30 pagi.
Adik ipar, Siti Nur Aziana Bidin, 18, berkata, kejadian yang menimpa bapa kepada dua anak itu sempat dilihat oleh anak lelakinya berusia sembilan tahun.
Artikel berkaitan: Gara-Gara Pegang Corong Peniup, Pelajar Lelaki Cedera Kena Renjatan Elektrik Waktu Banjir Kilat
Artikel berkaitan: Seorang Remaja Maut Akibat Terkena Renjatan Elektrik Ketika Cas Telefon Di Soket Dalam Bas
“Semasa kejadian anak saudara saya duduk di atas sofa, kemudian abang ipar yang kebetulan hendak masuk ke dalam rumah telah memegang jeriji besi pintu.
“Kemudian saya terdengar suara abang ipar menjerit dan rebah. Anak mangsa yang melihat kejadian itu kemudian telah memanggil neneknya meminta tolong,” katanya.
Bercerita lanjut, abang iparnya telah hanyut dibawa arus deras air di hadapan rumah, lebih-lebih lagi rumah mereka terletak di tepi sungai dan semasa kejadian hujan lebat serta air deras.
Katanya mereka telah berusaha mencari mangsa dengan meniti di atas wayar paip getah yang diikat pada tiang rumah serta pokok.
“Sekitar jam 6 pagi, sebaik sahaja azan Subuh, mayat abang ipar telah ditemukan di tepi rumah.
“Kemudian mayatnya diserahkan kepada pihak berkuasa dan dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
View this post on Instagram
Difahamkan, plag mesin basuh yang berada berhampiran jeriji besi pintu rumah tersebut dipercayai punca kepada aliran elektrik terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
Sumber: Sinar Harian