Pada Khamis lepas, tular sebuah video di TikTok memaparkan seorang wanita berketurunan India ditemui dalam keadaan cemas dan bingung sambil mendukung bayinya dekat belakang rumah Setiausaha Surau Madrasatul Huda, Alor Setar.
Wanita tersebut kemudian telah dibantu oleh AJK surau berkenaan untuk diberi rehat sementara di surau tersebut.
Artikel berkaitan: Dengar Tangisan, Bayi Lelaki Berbalut Kain Ditemui Di Kawasan Semak Oleh AJK Surau
Artikel berkaitan: Termuntah Dalam Surau, Tindakan Adik Ini Tulis Surat Minta Maaf Dan Tinggakan Duit Untuk Pembersihan Dapat Pujian Netizen
“Cara dia jalan, wajah dia… nampak takut”
Menceritakan kejadian yang berlaku, Shamsul Anuar Aziz, 44, yang juga pemilik akaun TikTok mengatakan bahawa pertemuannya dengan wanita itu sebagai sesuatu yang menyedarkan diri erti nilai sebenar kemanusiaan tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.
@shownbotak Kita kan Satu Malaysia Bantuan kami kepada ibu dan baby.. Moga mereka sihat selalu #fypシ゚
Ketika kejadian jam 8.35 malam, kami baru selesai solat Maghrib. Saya duduk sekejap di luar surau dan nampak seorang wanita India dukung bayi lalu perlahan-lahan di hadapan surau.
“Cara dia jalan, wajah dia… nampak takut, macam orang dalam masalah, bayinya hanya berbalut tuala berwarna kuning sambil menggalas beg plastik,” kata Shamsul.
Menurutnya lagi, Shamsul telah menerima panggilan daripada sepupunya yang tinggal di belakang rumah, memberitahu ada seorang wanita bersama bayi bersembunyi di kawasan gelap berhampiran.
Saya terus pergi tengok, bawa dua tiga orang jemaah. Bila sampai, saya nampak dia duduk berselubung, sembunyi belakang kereta. Tempat itu memang gelap. Bila saya tegur, dia macam nak lari.
“Ketika itu dia cakap perlahan, tolong jangan halau saya’. Hati saya terus jadi sebak,” ceritanya lagi.
Dia kemudian berjaya menenangkan wanita itu dan memujuknya untuk ke surau bagi mendapatkan tempat yang lebih selamat.
Wanita itu juga katanya kurang bercakap mungkin kerana dalam keadaan takut dan trauma.
Saya kata saya bukan nak halau, saya nak tolong. Dia akhirnya ikut saya ke surau. Kami beri dia tempat duduk dan tanya apa masalah dia.
“Dia kelihatan masih dalam pantang dan lemah, malah raut wajahnya menunjukkan dia dalam keadaan sangat runsing,” katanya lagi.
Suami sedang jalani hukuman penjara
Selepas dipujuk, wanita itu kemudian berceita yang dia sebelum ini menumpang di rumah rakan berhampiran kampung berkenaan yang turut mempunyai keluarga, namun tertekan berdepan dengan isu wang.
Lebih sedih, suaminya pula kini sedang menjalani hukuman penjara.
Dia cakap dia lari dari rumah kawan sebab rasa tak selamat. Dia tak ada duit, tak ada tempat nak pergi. Anak dia pun cuma balut dengan tuala, ‘pampers’ sudah lama tak tukar,” kata Shamsul.
Pilu dengan apa yang menimpa wanita itu, Shamsul dan beberapa jemaah lain bertindak membeli susu, lampin pakai buang dan makanan untuk bayi berkenaan serta sediakan tempat rehat sementara di surau.
Wanita itu kemudian memberitahu yang dia mempunyai seorang abang di Pulau Pinang dan hasil bantuan Shamsul, abang wanita itu dapat dihubungi.
Pihak AJK surau kemudian sepakat membeli tiket ETS yang paling akhir pada malam itu buat wanita berkenaan dan anaknya serta memastikan mereka menaiki kereta api dengan selamat.
Mujur juga semasa menunggu di stesen kereta api, ada seorang lelaki India turut sama membantu wanita itu mengangkat beg dan dia kelihatan lebih tenang.
Ini pertama kali jadi di surau kami. Tapi saya bersyukur kami diberi peluang bantu dia. Kita tak kira bangsa atau agama, yang penting dia dan bayi selamat.
“Dia ucap terima kasih beberapa kali dan saya kata doakan kami sihat dan dimurahkan rezeki.
“Bagi saya, ini ujian untuk saya dan rakan-rakan jemaah. Kita doakan yang baik-baik untuk wanita itu,” katanya lagi.
Sumber: Harian Metro, TikTok