in

Timor-Leste Kini Sah Menjadi Anggota Terbaru ASEAN, Ini Sejarah Negara Termuda Di Asia

Untitled design 70

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Ahad semalam, secara rasminya menerusi Sidang Kemuncak ASEAN 2025, Timor-Leste kini sah menjadi anggota terbaru ke-11 ASEAN.

Pencapaian ini bukanlah sesuatu yang mudah bagi Timor-Leste memandangkan negara ini telah membuat pemohonan sejak tahun 2011 lagi. Akhirnya, segala usaha mereka membuahkan hasil pada tahun 2025 ketika negara kita menjadi tuan rumah bagi ASEAN 2025.


Timor-Leste ini juga merupakan antara negara Asia Tenggara yang jarang dapat perhatian meluas memandangkan liputan berita mengenainya agak terhad. Oleh itu, mari kita kenali negara termuda di Asia ini dengan lebih dekat.

Asalnya dijajah oleh Portugis 

bendera timor leste

Terdahulu, Timor-Leste ini dikenali sebagai Republik Demokraktik Timor-Leste (RDTL) dan ianya terletak di bahagian timur Pulau Timor di Asia Tenggara. Negara ini sebenarnya pernah menjadi sebahagian daripada Indonesia, di mana waktu itu dikenali sebagai Provinsi Timor.

Namun selepas melalui perjalanan panjang dan konflik, Timor-Leste akhirnya berpisah daripada Indonesia pada 20 Mei 2002 dan memilih untuk menggunakan nama dalam bahasa Portugis iaitu Timor-Leste.

Hal ini kerana, Portugis pernah menjajah negara itu pada tahun 1520 dan menamakan ia Timor Portugis pada waktu itu. Selepas itu, Belanda dan Jepun juga pernah cuba untuk menguasai wilayah yang sama, namun akhirnya Portugal dan Belanda telah menandatangani Perjanjian Lisbon pada 20 April 1859 bagi menetapkan sempadan antara koloni mereka iaitu Hindia Belanda dan Timor Portugis.

Pada tahun 1974, kerajaan diktator Portugal pun ditumbangkan dan dari situlah munculnya parti politik Fretilin yang berhaluan untuk memperjuangkan kemerdekaan Timor Portugis. Tidak lama kemudian, Fretilin mengisytiharkan kemerdekaan Timor-Leste daripada Portugal pada 30 November 1975.

Artikel Berkaitan: 14 Tahun Menanti, Akhirnya Timor-Leste Sah Jadi Ahli Ke-11 ASEAN! – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Dua Sejarah Terukir Di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Lobak Merah

Penggabungan semula dengan Indonesia 

peta timor leste

Tapi baru dua hari merdeka, tiba-tiba tiga parti politik lain iaitu KOTA, UDT dan APODETI yang pro-Indonesia mengumumkan hasrat mereka untuk bergabung dengan Indonesia dan peristiwa itu dikenali sebagai Deklarasi Balibo.

Deklarasi itu kemudian melancarkan Operasi Seroja iaitu misi ketenteraan bagi mengambil alih Timor-Leste dan menyebabkan operasi ini menerima kritikan daripada dunia antarabangsa ekoran penglibatan keganasan dalam operasi tersebut.

Pada tahun 1976, Timor-Leste pun secara rasmi dimasukkan ke dalam Indonesia sebagai Provinsi Timor Timur. Namun, setelah kejatuhan Seoharto, Presiden B.J Habibie barulah rakyat wilayah itu menentukan nasib mereka sendiri menerusi referendum yang dibuat pada 30 Ogos 1999.

Hasilnya, majoriti rakyat memilih untuk bebas daripada mana-mana negara. Walaupun berlakunya rusuhan besar, pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (INTERFET) campur tangan bagi mengembalikan keamanan wilayah tersebut. Akhirnya pada 20 Mei 2002, Timor-Leste secara rasmi diiktiraf negara merdeka oleh dunia.

Negara baharu pertama di abad ke-21

timor leste now

Selepas sekian lama berjuang, negara ini secara rasminya mencapai kemerdekaan pada 12 Mei 2002. Peristiwa ini menandakan kelahiran sebuah negara baru di peta dunia, menjadikan antara negara paling muda di Asia.

Sebenarnya tak banyak negara baharu muncul sejak tahun 2000. Antara yang seangkatan dengan Timor-Leste adalah seperti Montenegro yang berpisah daripada Serbia pada tahun 2006. Kosovo juga mengisytiharkan kemerdekaan daripada Serbia pada 2008 walaupun masih belum mendapat pengiktirafan sepenuhnya daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada tahun 2011, Sudan Selatan juga telah berpisah sepenuhnya daripada Sudan.

Sebelum itu, Palau juga pernah muncul sebagai negara merdeka pada tahun 1994 selepas tamat tempoh program amanah dibawah PBB.

Keunikan bahasa di Timor-Leste

orang timor leste

Selain sejarahnya yang penuh dengan konflik, apa yang menarik bagi negara ini adalah cara rakyatnya berbahasa. Walaupun negara ini kecil, tapi negara ini sebenarnya mempunyai pelbagai bahasa.

Secara rasmi, Timor-Leste ada dua bahasa utama iaitu Bahasa Portugis dan Bahasa Tetum. Portugis menjadi bahasa rasmi kerana pengaruh penjajahan Portugis yang terdahulu, menjadikan satu-satunya negara Asia yang menjadikan Bahasa Portugis sebagai bahasa rasmi negara mereka.  Manakala Tetum pula ialah bahasa tempatan yang paling banyak digunakan dalam kehidupan seharian.

Namun Bahasa Indonesia dan Bahasa Inggeris juga diiktiraf sebagai ‘bahasa kerja’ di negara tersebut. ‘Bahasa kerja’ ini dimaksudkan sebagai bahasa yang digunakan dalam urusan rasmi dan pentadbiran terutamanya dalam kerajaan, perniagaan serta sektor pendidikan.

Memandangkan Timor-Leste pernah berada di bawah pentadbiran Indonesia selama lebih dua dekad, ramai rakyatnya masih fasih bertutur dalam Bahasa Indonesia. Bahasa Inggeris pula sering digunakan bagi urusan diplomatik dan organisasi global selepas negara itu mula berhubung rapat dengan komuniti antarabangsa selepas mencapai kemerdekaan.

Mata wang Timor-Leste

Untitled design 68

Sejak tahun 2000, Timor-Leste secara rasminya menggunakan Dolar Amerika Syarikat (USD) sebagai mata wang utama negara, menjadikan negara ini tidak mempunyai mata wang sendiri.

Keputusan ini dibuat oleh United Nations Transitional Administration in East Timor (UNTAET) selepas konflik kemerdekaan bagi menstabilkan ekonomi dan memudahkan urusan antarabangsa.

Walaupun menggunakan USD, mereka maih ada duit syiling tempatan sendiri yang dikenali sebagai Centavo Timor-Leste. Nilainya sama seperti sistem yang digunapakai oleh Amerika, dimana 100 centavos bersamaan dengan 1 USD. Syiling centavo ini pula ada beberapa pecahan seperti 1, 5, 10, 25 dan 50 centavo dan semuanya menampilkan rekaan yang mencerminkan budaya dan identiti Timor-Leste.

Bagi di kawasan sempadan antara Timor-Leste dan Indonesia, masih ada penduduk yang menggunakan Rupiah dalam urusan jual beli harian kerana hubungan ekonomi dan pergerakan orang antara dua wilayah itu masih aktif.

Penggunaan USD sebenarnya membantu negara itu mengekalkan kestabilan harga dan keyakinan pelabur asing, walaupun ia juga bermakna negara itu tak boleh mengawal dasar kewangannya sendiri seperti kadar faedah atau pengeluaran wang baharu.

Kopi dijadikan sebagai sumber utama ekonomi 

Untitled design 69

Mungkin ramai tak tahu yang kopi merupakan salah satu sumber utama bagi negara ini. Meskipun negara ini kecil jika dibandingkan dengan pengeluar negara lain tapi negara ini antara pengeluar kopi organik yang berkualiti tinggi di dunia. Apa yang mengejutkan, Starbucks adalah antara pembeli terbesar kopi daripada negara muda ini.

Industri kopi di Timor-Leste bukan saja penting dari segi eksport, tetapi menjadi punca pendapatan utama bagi penduduk luar bandar. Ramai petani di negara ini masih menanam kopi secara tradisional tanpa menggunakan bahan kimia, menjadikan hasil pertanian kopi lebih organik dan semula jadi.

Antara biji kopi yang paling terkenal ialah Timor Hybrid iaitu biji kopi hasil kacukan semula jadi antara Arabica dan Robusta. Rasa dan aromanya yang seimbang menjadikan kopi Timor-Leste sangat digemari oleh peminat kopi premium di seluruh dunia.

Walaupun baru berusia dua dekad sebagai negara merdeka, Timor-Leste kini semakin melangkah ke hadapan dalam membina identiti sendiri melalui budaya, ekonomi dan diplomasi serantau. Keanggotaan dalam ASEAN pada tahun 2025 bukan menandakan simbol kejayaan semata, tetapi juga permulaan baharu bagi negara muda ini untuk terus berkembang bersama jirannya di Asia Tenggara.

Sumber: Detik Bali, Rustic Pathways

Sumber: Aoraee
Sumber: World Atlas
Sumber: Republika
Sumber: etwa

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.