Satu posting dimuat naik oleh laman Facebook rasmi Istana Selangor, (Selangor Royal Office) berupa sepucuk surat yang ditujukan kepada Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Tan Sri Abdul Hadi Awang daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ia susulan artikel yang ditulis oleh Abdul Hadi pada 20 Februari yang bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ yang mana ia ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.
Artikel berkaitan: Isu Hina Sultan Selangor, MB Kedah Ditahan Pukul 3 Pagi
Artikel berkaitan: “MasyaAllah cantiknya” – Permaisuri Selangor Dipuji Makin Berseri, Bertudung Lepas Balik Haji
Baginda menzahirkan dukacita itu menerusi satu surat yang mempunyai 5 halaman dan ianya diutuskan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri bertarikh 27 Februari.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin turut menasihatkan Abdul Hadi agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raya Melayu yang boleh membawa kepada perpecahan umat Islam.
“Kenyataan sinis Tan Sri Abdul Hadi itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian.
Ia juga tidak beradab daripada sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.
Kenyataan Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini,” titahnya.
Dalam surat itu, Baginda juga mempersoalkan mengapa presiden PAS itu sekarang mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara, sedangkan agama Islam telah ditetapkan sebagai agama Persekutuan semenjak Perlembagaan digubal pada tahun 1957 lagi, titahnya.