Indonesia
Bermacam cara yang orang lakukan untuk mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti wabak COVID-19. Ada yang bila parcel sampai je, terus spray dengan sanitizer, ada juga yang kemana-mana siap bawak sarung tangan sebab nak elak sentuh mana-mana permukaan.
Pendek kata, memang banyak cara yang orang lakukan. Tapi, pastikan dulu apa yang korang buat tu bukanlah daripada sumber tak sahih ye. Kang, membazir masa dan memudaratkan diri pulak.
Bercakap mengenai cara-cara yang dilakukan sesetengah orang untuk mengelakkan daripada dijangkiti COVID-19, sebuah perkampungan di negara jiran Indonesia ini juga ada cara mereka tersendiri.
Di Kampung Kutorenon, Sukodono, Lumajang, Jawa Timur, penduduk di sini akan meletakkan patung orang-orang di hadapan rumah mereka untuk mengelakkan wabak penyakit termasuklah COVID-19.
Lapor detiknews, pemasangan orang-orang di hadapan rumah itu merupakan budaya yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.
“Ceritanya dulu, kalau ada wabak penyakit, orang dulu-dulu akan pasang boneka (orang-orang) ini untuk menolak wabak penyakit,” kata seorang penduduk.
Difahamkan, rangka orang-orang tersebut diperbuat daripada buluh. Manakala tempurung kelapa pula digunakan sebagai kepala orang-orang.
Ada penduduk yang alami kejadian aneh
Lapor sumber pula, pemasangan orang-orang ini bermula dari satu kejadian aneh yang menimpa seorang penduduk kampung. Dikatakan, pintu rumah penduduk terbabit pernah diketuk pada waktu tengah malam, namun setelah pintu dibuka, tiada siapa yang berada di luar.
Warga setempat pula berpendapat, itu adalah petanda wabak penyakit datang. Menurut mitos, jika pintu rumah dibuka selepas terdengar ketukan, pemilik rumah mungkin boleh diserang penyakit.
Walaupun penduduk di perkampungan ini meletakkan orang-orang di hadapan rumah sebagai ikhtiar untuk mengelakkan jangkitan wabak COVID-19, warga kampung difahamkan, masih lagi berdoa kepada Yang Maha Esa.
“Walaupun ada yang memasang orang-orang di depan rumah, penduduk tetap memanjatkan doa kepada Allah agar COVID-19 cepat hilang. Protokol kesihatan tetap kami jaga,” ujar seorang penduduk pula.
Untuk info, Indonesia adalah salah satu negara Asia paling teruk terkesan akibat wabak COVID-19.
Setakat kelmarin, negara itu sudah merekodkan sebanyak 2.73 juta kes jangkitan akibat wabak maut itu. Manakala, angka kematian pula mencecah 70,192.
Sumber: detiknews