Kita makin lama makin terbiasa dengan perubahan dunia, sibuk kejar kerjaya, teknologi, apatah lagi hiburan. Ada antara kita yang terlalu leka dengan dunia, sampai tak ambil tahu dengan isu yang lebih besar di luar sana.
Dalam masa yang sama, ada antara kita yang sanggup menggadaikan nyawa demi misi kemanusiaan, macam Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dikhabarkan sudah memasuki zon oren dan bakal tiba ke zon merah dalam masa sehari lagi. Semakin hari, semakin dekat mereka dengan Gaza, menjadikan semakin tinggilah risiko yang perlu hadapi.
Mereka bukan sahaja mempertahankan hak orang Islam saja, mereka juga berdiri atas nama kemanusiaan dengan menuju ke wilayah di mana Masjid Al-Aqsa bertapak, iaitu tanah yang begitu besar maknanya bagi sejarah agama Islam.
Di sinilah munculnya persoalan berat iaitu, tidakkah usaha ini boleh menjadi antara isyarat bahawa kita semakin menghampiri dengan akhir zaman?
Dalam hadis, Nabi SAW sudah mengiystiharkan bahawa bumi Palestin dan sekitarnya akan menjadi saksi kepada peristiwa besar menjelang kiamat. Bahkan, salah satu tanda kiamat yang disebut ialah pembukaan Baitul Maqdis. Sejarah juga pernah membuktikan, pembukaan Baitul Maqdis pernah berlaku sebelum ni sebelum ditawan sepenuhnya oleh Israel sejak tahun 1967.
Jadi andai kata satu hari nanti, Palestin benar-benar diiktiraf secara rasmi sebagai sebuah negara berdaulat, tidakkah itu boleh dilihat sebagai peluang kepada ‘pembukaan semula’ Baitul Maqdis?
Maka, di sinilah kita sepatutnya mula sedar. Apa yang kita anggap hanyalah sebuah sejarah, sebenarnya sedang berlaku di depan mata.
Sebab apa yang berlaku antara Palestin dan Israel sebenarnya bukan tentang permainan politik je. Kita mungkin fikir yang tanda-tanda kiamat tu mesti sesuatu yang besar, luar biasa dan menakutkan. Padahal, banyak daripadanya datang dalam bentuk yang kita sendiri normalize perkara tersebut.
Artikel Berkaitan: “Jangan risaukan kami, doakan rakyat Gaza” – Farah Lee Jelaskan Keadaan Kembali Terkawal – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Israel Siap Sedia Halang Kapal GSF, Ini Mungkin Apa Yang Akan Berlaku Terhadap Semua Aktivis – Lobak Merah
Fitnah berleluasa
Nabi SAW pernah berpesan bahawa akan datang satu masa nanti, fitnah tersebar begitu meluas hingga tak ada satu rumah pun orang Islam terselamat daripadanya. Kalau dulu, orang fikir macam mana fitnah boleh masuk ke dalam rumah. Tapi realitinya sekarang, cukup dengan ada satu telefon pintar sahaja dah boleh tercetus pelbagai fitnah terus sampai ke ruang tamu kita.
Fitnah hari ini datang dalam pelbagai bentuk. Dengan penggunaan sosial media yang meluas, makin banyak berita palsu, penyebaran hasutan kebencian serta hiburan yang merosakkan jiwa seolah-olah sudah menjadi satu kebiasaan dalam hidup. Ditambah pula dengan butang ‘share‘, semakin mudahlah fitnah boleh berleluasa sehingga menyebabkan berjuta orang boleh terpengaruh dengan sesuatu yang belum tentu.
Manipulasi berpunca daripada fitnah ini juga boleh menyebabkan berlakunya perpecahan umat kerana saling tidak mempercayai satu sama lain. Kadang kala isu yang digaduhkan hanyalah perselisihan yang kecil, tapi disebabkan manipulasi di alam maya membuatkan kita jadi cepat untuk menghukum dan lambat dalam mencari kebenaran.
Perbuatan zina mula ‘dinormalisasikan’
Antara tanda yang jelas adalah maksiat yang semakin dinormalisasi oleh generasi sekarang. Padahal, perkara ini dahulu dianggap perkara yang terkutuk dan memalukan bagi orang Islam. Namun, kini dianggap sesuatu yang biasa dengan alasan ‘kejutan budaya’. Sekarang orang tidak lagi bersembunyi dalam melakukan maksiat, malah ramai buat secara terbuka tanpa segan silu.
Media sosial juga antara platform yang memainkan peranan besar dalam hal ni. Kadang-kadang trend itu mungkin berasal dari Barat, yang asalkan kita tahu lebih terbuka dan tidak peduli tentang batasan.
Namun bila sudah terbiasa normalize, akan timbul rasa nak cuba. Dari sekadar ikut suka-suka, akhirnya makin ramai yang buat, makin ramai yang kongsi di sosial media dan akhirnya makin ramai menjadikannya ia ‘normal’.
Secara tak langsung, proses ini akan terus berulang sehingga satu tahap, kita tidak lagi rasa serba salah melakukan dosa. Jadi sebab itulah perkara ini dianggap bahaya sebab ibarat dosa dan pahala adalah sesuatu benda yang ringan bagi kita.
Menurut Quran Explorer, Nabi SAW pernah mengingatkan bahawa perkara halal itu jelas dan haram itu jelas, tetapi di antara keduanya ada perkara syubhah, iaitu meragukan, di mana ramai orang tidak mengetahuinya. Malangnya, di akhir zaman ini semakin ramai berani menormalkan perkara haram, malah menganggapnya seolah-olah halal.
Orang hina mendapat kedudukan terhormat
Hari ni kita boleh nampak betapa ramainya orang dipandang tinggi hanya kerana mereka popular. Ada orang yang naik namanya bukan kerana ilmunya atau sumbangannya, tapi kerana kontroversi, atau perangai yang tidak elok yang ditunjukkan depan umum yang akhirnya mempunyai pengikut.
Padahal, Nabi SAW pernah mengingkatkan perkara ini terdahulu.
“Sesungguhnya sebelum kiamat, akan dilantik orang-orang yang bodoh sebagai pemimpin. Mereka ditanya, lalu memberi fatwa tanpa ilmu. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” (Riwayat al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, no. 100)
Hadis ini seakan menggambarkan suasana hari ini. Kita makin terbiasa melihat individu yang mendapat perhatian meskipun berkelakuan tidak baik. Fenomena ini menunjukkan betapa mudahnya masyarakat terpengaruh dengan populariti, walaupun kadang kala ia tidak membawa manfaat yang sebenar.
Ramai orang soleh meninggal dunia
Selain itu, pemergian orang soleh juga adalah salah satu petanda kiamat hampir tiba. Menurut Harian Metro, baginda bersabda bahawa kiamat tidak akan berlaku melainkan hanya tinggal orang-orang hina dan buruk sahaja di muka bumi
“Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik dan ahli agama di muka bumi, maka tidak ada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina dan buruk yang tidak mengetahui yang ma’aruf dan tidak mengingkari kemungkaran.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Pendek kata, manusia yang baik-baik, ahli agama dan orang yang jujur yang akan dimatikan terlebih dahulu.
Kalau kita perasan, kita selalu dikejutkan dengan berita pemergian tokoh agama, pendakwah, bahkan orang biasa yang hidupnya penuh kebaikan. Meskipun kita tidak pernah mengenali mereka secara langsung, kisah kebaikan mereka tetap tersebar luas dan dikenang ramai. Seolah-olah Allah ingin tunjukkan pada dunia bahawa inilah insan-insan yang bersih hatinya.
Hairannya, bagaimana orang yang terang-terangan menentang agama, menipu, menzalimi atau menjerumuskan masyarakat dalam maksiat ini masih boleh hidup dan berjaya dalam menawan dunia.
Jadi inilah yang dimaksudkan bahawa kita sememangnya semakin menghampiri kiamat. Namun, perkara ini sebenarnya lebih kepada ujian bagi kita semua sebagai umat Islam, di samping menjadikan peringatan untuk memperbaiki diri selagi sempat.
Cuma persoalannya adalah, nak termasuk dalam golongan yang hanya hidup mengejar dunia, atau nak ikut jejak mereka yang meninggalkan nama dengan kebaikan? Renung-renungkanlah.
Sumber: Harian Metro, eCentral