in

“Takut akan beralih ke pasaran gelap” – Pakar Cadang Polisi Berbeza Pelaksanaan GEG

Geg Malaysia 2022

Baru-baru ini, satu persidangan Evolving Treatment Methodologies in Addiction (ETMA) telah dianjurkan dan pada persidangan ini pelbagai isu telah dibangkitkan antaranya mengenai cadangan perlaksanaan Generation End Game (GEG) yang dibacakan di Parlimen akhir bulan lalu.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan pakar akademik, para cendekiawan dalam bidang masing-masing serta pakar industri telah mengemukakan pendapat masing-masing mengenai cadangan perlaksanaan GEG tersebut.

Untuk makluman, menerusi Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Rokok 2022 semua produk berasaskan tembakau akan diharamkan kepada mereka yang lahir pada atau selepas tahun 2007, termasuklah rokok elektronik dan juga produk pemanasan tanpa pembakaran (HNB).

Geg1

Malah, sewaktu persidangan berlangsung mereka turut berbincang mengenai pelaksanaan GEG di New Zealand. Menurut Fiona Patten, ahli Victorian Legislative Council ia dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun 2011 dan mereka juga tidak mengharamkan pengunaan produk alternatif seperti vape atau produk HNB.

“Mereka mungkin melaksanakan larangan kepada produk tembakau dan produk mudah terbakar tetapi tidak ada perbincangan yang dilakukan terhadap vape”

Tambahnya lagi, adalah tidak wajar sekiranya penggubal dasar untuk mengkelaskan produk nikotin dan produk pengurangan bahaya seperti HNB ini dianggap sebagai produk yang sama.

Dalam masa yang sama beliau juga kurang bersetuju dengan model larangan yang ingin digunapakai oleh dasar GEG Malaysia.

Perkara ini turut disokong oleh Prof. Dr. Sharifah Ezzat Wan Puteh yang menyatakan bahawa pencegahan melalui kesedaran terhadap bahaya tembakau boleh dijadikan pilihan dan bukannya mengharamkan semua produk secara menyeluruh.

Geg2

Dalam masa yang sama, beliau tidak menafikan yang nikotin sememangnya menyebabkan ketagihan namun ia bukanlah satu-satunya penyebab kepada penyakit yang disebabkan oleh rokok.

Prof Dr. Sharifah turut menambah bagaimana kaedah pengurangan risiko dan pilihan produk alternatif seperti vape atau rokok elektronik sedang giat dikaji oleh negara lain dan menggesa kerajaan untuk menyegerakan pelaksanaan peraturan yang melibatkan penggunaan vape di Malaysia.

“New Zealand misalnya berjaya laksanakan GEG kerana mereka menyediakan sistem sokongan seperti membenarkan penggunaan produk alternatif seperti vape atau produk pemanasan tanpa pembakaran”

Namun beliau mengingatkan bahawa produk vape diluar negara mendapat kelulusan selain mempunyai sokongan dari segi komposisi bahan dan kajian yang menyeluruh serta masih dalam kawalan manakala di Malaysia, produk vape masih meragukan kerana tidak dikawal selia oleh kerajaan.

Dr Sharifah dalam masa yang sama kurang bersetuju dengan pengelasan produk tembakau biasa dengan produk alternatif sebagai satu kelas yang sama seperti yang dilakukan oleh kerajaan sekarang ini.

Tambahnya, sekiranya kesemua ini diharamkan, maka pengguna terpaksa beralih kepada produk terapi nikotin atau penampal nikotin yang sukar ditemui di pasaran selain harga yang agak mahal.

Beliau juga mendedahkan bahawa ada kumpulan masyarakat dan penyelidik telah berhubung dengan kerajaan mengenai hal ini bagi membentangkan data namun ditolak dengan alasan kononnya ianya tidak tepat kerana ditaja oleh syarikat tembakau.

Pun begitu, Dr Sharifah menyatakan keraguannya bahawa setiap penyelidikan dan kajian ini telah dimanipulasi dan pada yang sama mengemukan ulasan bukti bebas yang diterbitkan Public Health England pada 2015 yang mendakwa rokok elektronik adalah kurang 95% berbahaya berbanding rokok biasa.

Tambahnya lagi, negara seperti New Zealand dan Jepun mengalakkan pengunaan alternatif bebas asap rokok bagi mengurangkan bilangan perokok di negara masing-masing namun apa yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia agak berbeza berbanding dua negara berkenaan yang dilikat sedikit ekstrem dan dikatakan melanggar hak individu.

Selain isu rokok dan GEG ini, persidangan tersebut turut membincangkan tentang polisi kesihatan semasa dunia dan Malaysia, masalah berkaitan dadah, kesihatan mental, masalah ketagihan alkohol dan pelbagai isu lain.