Aktivis sosial, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang baru-baru ini mengajak orang ramai untuk turut sama membantu untuk membaiki jalan raya yang berlubang.
Menurutnya, kos untuk menampal satu lubang adalah sekitar RM70 sehingga RM200, bergantung pada keadaan lubang dan kos tersebut agak rendah jika nak dibandingkan dengan kemalangan yang bakal dihadapi oleh orang awam.
Tambahnya lagi, mungkin kos berkenaan dilihat agak mahal namun jika perbandingan dibuat dengan ‘harga’ atau nilai satu tangan, satu kaki yang patah atau lebih buruk, nyawa yang melayang atau mangsa menjadi lumpuh, kos ini menjadi remeh dan harus dilakukan.
Selain itu, menurutnya lagi ramai anak muda kini tiada pekerjaan atau ramai yang buat kerja separuh masa sebagai penghantar makanan atau barangan, bahaya kepada mereka sekiranya tercedera, lumpuh atau meninggal dunia.
“Jom, mari kita tampal lubang jalan raya. Kos tidak tinggi. Kita selamatkan penunggang dari kecederaan, lumpuh atau meninggal”
Perkara tersebut disampaikan oleh aktivis berkenaan dalam satu hantaran di Facebooknya baru-baru ini.
Uncle Kentang juga berkata, sekiranya jalan tidak dibaiki, ia mengundang kemalangan kepada para penunggang (motosikal) dan pastinya ia akan lebih merumitkan kerana proses untuk menuntut ganti rugi atau saman pihak bertanggungjawab memakan masa yang lama.
Tambahnya, untuk menyaman mana-mana pihak majlis adalah sukar kerana untuk membuka fail, perlu melantik peguam dan ianya menelan kos sehingga RM2,000 selain ianya memakan masa yang lama, ada yang sehingga lima hingga enam tahun.
Tambahnya lagi. Sepanjang tempoh tersebut, ‘siapa yang ingin menanggung kos rawatan dan penjagaan?’
Menurutnya, kebiasaan kes-kes tuntutan saman ke atas pihak majlis ini akan menemui kegagalan atau ianya akan diselesaikan di luar mahkamah. Apabila itu berlaku, pampasannya tidak akan memadai dengan kecederaan yang dialami penunggang.
Jelasnya lagi, usaha untuk menampal lubang-lubang di kawasan Puchong tersebut akan diteruskan lagi dan menyeru orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan atau ingin sertai untuk menghubunginya terus.