in

“T12 Compression bukan biasa” – Doktor Dedah Abang Belon Berisiko Lumpuh, Alami Kecederaan Tulang Belakang Serius

Abang Belon
Abang Belon

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Peniaga belon yang dikenali sebagai Abang Belon, atau nama sebenarnya Muhammad Za’imuddin Azlan, kini dilaporkan berisiko untuk lumpuh kekal selepas mengalami kecederaan serius di bahagian tulang belakang.

Perkara tersebut berlaku pada 28 Mac lalu di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur, selepas Abang Belon dikasari beberapa pegawai penguatkuasa DBKL ketika menjalankan operasi.


Menurut doktor yang merawatnya, Dr Mohd Hafidz Rizal, pemeriksaan awal menunjukkan Za’imuddin mengalami kecederaan jenis T12 compression iaitu kecederaan di bahagian tulang belakang yang boleh memberi kesan besar kepada saraf dan pergerakan badan.

Dr Hafidz menjelaskan bahawa Za’imuddin kini mula rasa kebas dan tidak dapat mengawal pembuangan air kecil, yang merupakan tanda komplikasi serius.

Beliau turut menambah bahawa jika keadaan itu berterusan, tidak mustahil Za’imuddin akan mengalami lumpuh kekal, lapor MalaysiaKini.

Disebabkan itu, dia dinasihatkan untuk berehat sepenuhnya dan tidak melakukan sebarang kerja berat dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan bagi memberi ruang kepada proses pemulihan.

Artikel berkaitan: “Kalau saya ada rekod kes lampau, adakah saya tak boleh cari rezeki halal?” – Abang Belon

Artikel berkaitan: Penjaja Belon Yang Tular Baru-baru Ini Didakwa Ada 13 Rekod Jenayah Lampau

Abang belon
Tangkap layar video tular yang memaparkan Abang Belon dikasari beberapa pegawai penguatkuasa DBKL di Jalan TAR.

Dalam pada itu, Dr Hafidz turut mendedahkan bahawa Za’imuddin sepatutnya menjalani pembedahan angin pasang (inguinal hernia) pada 18 April ini, namun disebabkan kecederaan tersebut, pembedahan itu terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

Sementara itu, peguam yang mewakili Za’imuddin, Muhammad Rafique Rashid Ali, memaklumkan bahawa mereka sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap DBKL.

Menurutnya, walaupun Za’imuddin berniaga tanpa lesen, itu bukan alasan untuk memperlakukannya dengan kasar. Katanya, tindakan agresif oleh pegawai DBKL tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh anak guamnya.

Untuk rekod, kisah Abang Belon mula tular selepas video insiden itu dimuat naik ke media sosial.

Ramai netizen menyuarakan rasa tidak puas hati dan mengecam tindakan kasar pegawai DBKL terhadap peniaga kecil yang hanya mencari rezeki.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.