“Perbuatan seperti keluar dari lokasi itu untuk tinggal di tempat lain terutama ketika pihak berkuasa sedang giat membuat persediaan melaksanakan PKPD adalah tidak bertanggungjawab.”
Begitulah petikan daripada kenyataan yang dikeluarkan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Rozali Mohamud susulan mendapati rata-rata penduduk di Taman Nagasari disyaki telah meninggalkan kediaman masing-masing selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokasi berkenaan.
Memetik laporan Astro Awani, penduduk di Taman Nagasari yang kebanyakannya pekerja industri dipercayai telah meninggalkan rumah masing-masing susulan pengumuman PKPD di lokaliti itu yang bermula pada 4 Julai 2021 jam 12.01 tengah malam sehingga tanggal 17 Julai 2021.
Menerusi kenyataan sama, Datuk Rozali Mohamud menggesa penduduk untuk kembali ke kediaman masing-masing bagi mempercepatkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan saringan komuniti.
“Amaran keras diberikan kepada penduduk serta majikan terbabit yang bertindak membelakangi keselamatan awam dan menyalahi undang-undang,” katanya.
Menurut beliau lagi, MBSP mempunyai rekod lengkap untuk menjejaki mana-mana individu yang ingkar menerusi operasi bersepadu yang akan dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan KKM.
Untuk makluman, terdapat sebanyak 940 unit kediaman di Taman Nagasari yang dikenakan PKPD dengan 244 daripadanya adalah untuk kegunaan industri, 66 untuk kegiatan komersial manakala baki 295 dan 335 unit lagi membabitkan rumah teres dan rumah pangsa.
Lapor Harian Metro pula, anggota ATM difahamkan sudah mula berada di lokasi terbabit semenjak petang semalam, 3 Julai bagi pemasangan kawad berduri. Malah, terdapat juga wakil kilang yang mula mengagihkan makanan kering kepada pekerja.
Selain itu, petugas KKM yang lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) turut berada di lokasi sama bagi membawa individu disahkan positif wabak COVID-19 ke pusat kuarantin.
Sumber: Astro Awani, Harian Metro
Baca: Wanita Warga Emas Jangkiti Tujuh Individu Lain Lepas Lari Dari PKPD Sebab Nak Sambut Raya