Malaysia digemparkan dengan sebuah insiden letupan yang menyebabkan kematian seorang tukang masak pada Khamis lalu.
Suspek bagi kes yang berlaku di Pandan Indah itu telah ditahan dan mereka merupakan pasangan suami isteri, kedua-dua mereka didakwa menggunakan alat kawalan jauh ketika meletupkan bom buatan sendiri itu.
Dalam laporan Harian Metro, tindakan tersebut dilakukan selepas lelaki berusia 30 tahun itu berang apabila mangsa menjalin hubungan sulit dengan isterinya.
“Malah, isterinya yang berusia 33 tahun turut didakwa berpakat melakukan perbuatan itu kerana marah selepas mendakwa mangsa memperguna dan mengambil kesempatan ke atas dirinya.
Lelaki terbabit mengaku menyediakan bahan letupan itu dan menghasilkannya di rumah mereka di Serdang, Kedah bersama-sama,” katanya.
Difahamkan, ketika kejadian itu berlaku, suami isteri terbabit berada berhampiran restoran tempat mangsa bekerja.
Alat kawalan jauh itu kemudiannya ditekan sebaik mereka melihat mangsa memegang bungkusan yang ditinggalkan di atas keretanya.
“Perbuatan pasangan itu turut terakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) dan sejurus selesai, pasangan terbabit melarikan diri dan pulang ke Kedah.
Malah mereka turut membuang pakaian dan alat kawalan jauh itu bagi mengelak disyaki,” katanya.
Pada masa sama, pemeriksaan di rumah pasangan terbabit di Serdang menemukan bahan untuk membuat bom tersebut.
Baca: Insiden Letupan Babitkan Tukang Masak: Suami Isteri Ditahan, Dipercayai Motif Cemburu