Di Malaysia, pengguna yang menggunakan lebuhraya pasti perlu melalui tol, kecuali Lebuhraya Persekutuan di Kuala Lumpur yang sistem kutipan tolnya dimansuhkan secara rasmi pada tahun 2018, 24 tahun selepas ianya beroperasi.
Apa yang kurang best berkenaan tol di Malaysia ni, pastinya kesesakan yang berlaku sebelum bayaran boleh dilakukan terutamanya di waktu puncak.
Namun, perkara ini mungkin tidak akan berlaku lagi sekiranya ujian sistem tol tanpa palang yang dijadualkan bermula pada tahun 2022 ini menunjukkan hasil positif dan terbukti keberkesanannya.
Menurut laporan The Star, syarikat Green Pack Bhd telah mengadakan kerjasama dengan FETC International Co. (FETCi) daripada Taiwan untuk mengadakan ujian untuk mengkaji keberkesanan Sistem Tol Aliran Bebas (MLFF).
Difahamkan, ujian konsep berkenaan bakal bermula awal tahun 2022 dan dijadualkan berlangsung selama tiga bulan untuk mengumpul data penggunaan MLFF ini di Lebuhraya Besraya, KM5.5 menghala ke utara.
Selepas itu, data yang diperolehi akan dikumpul dan dikongsi kepada pihak berkuasa Malaysia bagi membuktikan keberkesanan sistem aliran bebas berkenaan.
“Ujian konsep MLFF adalah proses penting untuk mencapai keadaan lebuh raya-bebas kesesakan melalui infrastruktur lalu lintas yang lebih baik”
Dalam satu kenyataan rasmi, difahamkan FETCi merupakan pakar dalam sistem tol aliran bebas dan telah membuat pemasangan di beberapa negara Asia yang lain. Selain bertindak sebagai pengenal frekuensi radio (RFID), FETCi juga akan membekalkan peralatan serta kepakaran front-end dalam perlaksanaan MLFF ini.
Sekiranya terbukti berkesan, harap sistem ini bakal diperkenalkan di Malaysia lah. Secara tak langsung, boleh kurangkan kesesakan di tol selain melancarkan perjalanan dan menjimatkan masa pengguna.
Baca : Kenali Nama Lebuh Raya Di Sekitar Lembah Klang, Mana Satu Yang Anda Pernah Sesat?