Kecoh di media sosial netizen mempersoalkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria membawa individu yang tiada kaitan dengan kontinjen Malaysia ke Paris baru-baru ini.
MOM bagaimanapun menjelaskan bahawa presidennya itu tidak menggunakan dana kerajaan membawa keluarganya ke Sukan Olimpik Paris tetapi semua perbelanjaan itu dibiayai sendiri oleh Norza.
Dalam pada itu, Norza menganggap serangan siber terhadap keluarganya tidak perlu dan perkara ini tidak patut terjadi kepada mereka.
Artikel berkaitan: MOM Sahkan Norza Zakaria Bawa Keluarga Ke Olimpik Paris Dengan Dana Sendiri
Artikel berkaitan: “Ini peruntukan khas” – MOM Respon Lepas Dipersoal Bawa Ahli Keluarga Ke Olimpik Paris
Norza juga berkata dia berkhidmat secara pro-bono (tanpa bayaran) dalam kedua-dua persatuan itu.
“Saya tidak menerima sebarang gaji daripada kedua-dua pertubuhan mahupun elaun. Saya ingin membantu membawa kecemerlangan dan kebanggaan kepada negara kita.
“Serangan terhadap keluarga saya ini sama sekali tidak perlu dan keluarga saya tidak perlu melalui sorotan sedemikian,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pentadbiran BAM Michelle Chai berkata semua peraturan telah dipatuhi dan dia tidak sepatutnya dibuli siber.
“IOC sememangnya memberi akreditasi kepada presiden dan setiausaha agung NOC. Setiap daripada mereka mendapat seorang tetamu yang menemani dan pada kad itu, akan tertera perkataan MOM.
“Sama seperti atlet, pegawai juga tidak seharusnya dibuli secara siber. Sila fahami isu tersebut sebelum membuat komen.
“Jika kita tidak menyukai seseorang, tidak bermakna semua yang dia lakukan adalah buruk,” kata Chai.
Difahamkan, Norza akan menyegerakan pengundurannya daripada BAM susulan kontroversi yang tercetus ini.
Sumber: Malaysiakini