Pengecas kenderaan elektrik (EV) atau petak parkir khas untuk kenderaan elektrik di Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu dan kini banyak tersedia di kawasan tempat meletak kenderaan di shopping mall dan lain-lain.
Seperti juga perbuatan ‘menempah’ petak parking yang dilakukan, rupa-rupanya ada juga pengguna yang tidak bertanggungjawab meletakkan kenderaan ‘biasa’ di kawasan parkir khas untuk EV ini.
Perkara tersebut berlaku di salah sebuah pusat beli belah di Damansara dan dikongsikan oleh salah seorang pengguna EV di group Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia (MyEVOC) baru-baru ini.
Menurut perkongsian tersebut, pemilik EV berkenaan menjelaskan bahawa terdapat satu petak khas untuk EV yang kosong telah dihalang oleh sebuah kenderaan jenis MPV ketika dia ingin menggunakan petak tersebut.
Tambah pengguna tersebut lagi, dia telah membunyikan hon kenderaannya sebagai tanda kepada MPV tersebut supaya mengalihkan kenderaan yang sedang menghalang laluan masuk untuk ke petak pengecasan yang tersedia.
Dengan bersahaja, pemandu MPV tersebut telah turun dari kenderaan dan memberitahu bahawa ada kenderaan lain yang ingin menggunakan petak ini kerana kesemua petak khas pengecasan EV di pusat beli belah berkenaan telah penuh.
Pemandu EV berkenaan tidak berpuas hati dengan kejadian yang berlaku disebabkan dia yang tiba dulu di petak berkenaan.
Sementara itu, pemandu MPV berkenaan berjalan ke kenderaannya sebelum membuat panggilan telefon, dipercayai menghubungi pemilik kenderaan EV yang dalam perjalanan ke petak berkenaan.
Pun begitu, tiada apa-apa yang berlaku kerana pemandu MPV berkenaan bertindak untuk meninggalkan petak berkenaan selepas ‘kantoi’ cuba menempah petak parking.
Perlu diingatkan, sama seperti petak parkir yang biasa, petak khas untuk kenderaan EV juga menggunakan konsep yang sama iaitu ‘siapa cepat, dia dapat’ dan agak mengecewakan sekiranya ada pihak ketiga cuba ‘chop’ petak berkenaan untuk orang lain.
Untuk pengetahuan, pihak PDRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa perbuatan ‘menempah’ tempat meletakkan kenderaan ini adalah satu kesalahan dibawah Seksyen 50 (3), Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang mana mereka yang didapati melakukan kesalahan itu boleh didenda maksimum sebanyak RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.
Sabitan kedua pula akan menggandakan hukuman iaitu denda RM4,000 atau penjara 12 bulan.
Peraturan itu menyatakan: “Jika mana-mana orang, selain daripada dengan kuasa yang sah, kekal di mana-mana jalan atau di mana-mana tempat letak kereta untuk tujuan meminta mana-mana orang lain berkenaan dengan pengawasan atau pembersihan kenderaan bermotor, atau untuk tujuan mengarahkan mana-mana pemandu kenderaan bermotor berkenaan dengan meletak kenderaan di jalan itu atau di tempat itu, dia melakukan suatu kesalahan.”
Baca : “Tahun 2022 dah tapi…” – Netizen Tepuk Dahi Tengok Wanita Degil Cop Parkir Walau Dah Dihon