Di sebalik wajah yang comel dan keletahnya yang manja, siapa sangka si bulus ini sebenarnya lumpuh dan tidak boleh berjalan. Disahkan menghidap penyakit swimmer syndrome oleh veterinar sejak lahir, si bulus ini tidak mempunyai keupayaan untuk berjalan sama seperti kucing-kucing normal yang lain.
Sebagai penjaga, sudah semestinya mahukan yang terbaik untuk kucing kesayangan mereka sama juga seperti pemilik anak bulus ini yang berkongsi detik gembira apabila kucing peliharaannya itu kini sudah boleh ‘berjalan’.
Gadis itu yang dikenali sebagai Nor Zee telah memuat naik beberapa keping gambar menerusi laman Facebooknya yang memperlihatkan anak kucingnya yang lumpuh itu kini sudah boleh berjalan dengan bantuan ‘wheelchair’ DIY yang direka sendiri olehnya.
Menurut gadis itu, dia berasa kasihan apabila kucing peliharaannya yang diberi nama Lea itu hanya mampu menyeretkan kaki belakangnya untuk bergerak. Disebabkan itu, dia terfikir pula idea untuk membuat ‘wheelchair’ sendiri untuk memudahkan pergerakan Lea.
Sebab kesian tengok dia jalan seret kaki, so kita buatkan wheelchair tuk dia. Lepas pakai je wheelchair, kan main laju dia lari.
Berdasarkan kreativiti yang dimiliki olehnya, Nor Zee hanya menggunakan sebuah lori mainan sahaja untuk diubah suai menjadi kerusi roda untuk Si Lea.
Apa yang menariknya, gadis ini menggunakan roda yang terdapat pada lori mainan itu sebagai base wheelchair, manakala badan Si Lea pula diikat dengan menggunakan reben di atas base tayar lori tersebut seolah-olah sama seperti kerusi roda yang sebenar.
Walaupun kelihatan melucukan, namun rekaan wheelchair DIY itu ternyata mampu memudahkan pergerakan kucing kesayangannya itu. Bukan setakat mampu berjalan, malah Si Lea juga kelihatan ‘laju’ berlari gara-gara teruja akhirnya dapat berjalan.
Video tak sempat nak record. Laju sangat lari sampai semua benda dia langgar. Kita pulak risau takot dia tergolek dengan lori tu sebab laju sangat.
Alahai comelnya. Mesti sebab teruja sangat dapat ‘kaki baru’.
Tambahnya lagi, Si Lea yang kini baru berusia 4 bulan dikatakan tidak mempunyai sebarang kesukaran untuk membuang air seperti biasa.
Namun, disebabkan keadaan kakinya yang lumpuh disamping tidak mampu untuk mengangkat punggung menyebabkan ia terpaksa dipakaikan lampin pakai buang untuk memudahkan urusan ‘sisa buangan’.
Bertuah Si Lea dapat tuan yang penyayang dan kreatif.