Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengumumkan persaraannya selepas Sukan Olimpik Paris 2024 melabuhkan tirai malam tadi.
Beliau yang lebih dua dekad mencipta nama di arena sukan ini, berkata legasinya akan diteruskan oleh rakan sepasukannya iaitu Muhammad Shah Firdaus Sahrom, menerusi satu temu bual bersama Astro Arena.
“Saya mengharapkan yang terbaik untuknya sebab saya tahu dia ada potensi,” katanya dalam nada sebak.
Azizulhasni yang diberi gelaran The Pocket Rocketman turut berharap Shah Firdaus dan rakan sepasukannya akan meneruskan legasinya dalam acara berbasikal trek negara.
Artikel berkaitan: “Satu simbol keberanian” – Parut Di Dada Azizulhasni Awang Tanda Beliau Tabah, Tidak Pernah Mengalah
Artikel berkaitan: “Tunjukkan solidariti kita rakyat Malaysia kepada Azizulhasni Awang”- Nicol David
“Bagi saya, harap Shah akan meneruskan legasi saya. Shah, adiknya (Ridwan Sahrom) dan beberapa pelumba lain.
“Ia bukan lagi tentang saya. Saya harap peminat akan berhenti bercakap mengenai saya, ia bukan lagi tentang saya.
“Ia tentang kita menyokong dia (Shah Firdaus) dan generasi baru itu,” katanya.
Dengarkan mesej istimewa Dato’ Azizulhasni Awang ini ??#GoForGold #SokongMalaysia #Paris2024 #KitaSemuaTeamMas pic.twitter.com/qQzmDfinTE
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) August 11, 2024
Dalam pada itu, Azizulhasni juga menyatakan kesediaannya untuk membantu pasukan berbasikal trek negara pada bila-bila masa.
“Apa sahaja yang mereka perlukan bantuan saya, saya akan sentiasa berada di sana untuk mereka,” katanya.
Untuk rekod, Azizulhasni adalah pelumba berbasikal trek terbaik negara setelah memenangi pingat emas keirin pada Kejohanan Dunia 2017.
Beliau juga adalah atlet negara pertama yang memenangi pingat di Sukan Olimpik dalam sukan berbasikal apabila memenangi pingat gangsa keirin di Rio 2016 sebelum merangkul pingat perak di Tokyo 2020.
Terima kasih The Pocket Rocketman! Selamat bersara!
Sumber: Astro Arena