Tak dinafikan kadar sewa rumah atau bilik di ibu kota sememangnya mahal meskipun ruang yang disewakan itu tidaklah terlalu luas.
Jika tak sewa bilik, di mana lagi kita nak tinggal kan terutamanya jika anda terpaksa bekerja di kota-kota besar untuk mencari rezeki.
Namun, seorang wanita di China ini pula telah memutuskan untuk tinggal di dalam tandas di tempat kerjanya kerana dia tidak mampu untuk membayar kadar sewa bilik atau rumah yang mahal di wilayah Hunan, China.
Memetik laporan South China Morning Post, wanita yang berusia 18 tahun itu berasal daripada kawasan pedalaman di wilayah Hubei, selatan China.
Dia kemudiannya berhijrah ke Hunan dan bekerja di sebuah kedai perabot dengan gaji sebanyak 2,700 yuan (RM1,645) sebulan.
Difahamkan, kadar sewaan setiap bulan di wilayah itu adalah sekitar 800-1,800 yuan (RM487-RM1,096), sekali gus menjadikan wanita itu tidak mampu untuk membayar sewa setiap bulan.

Artikel berkaitan: “Berbau, sempit” – KPKT Serbu Bilik Sewa ‘Liang Lahad’ Harga RM300
Artikel Berkaitan: Rakyat Malaysia Di Singapura Pasrah Sewa Bilik Harga RM2,300, Hanya Ada Tilam Atas Lantai
Gara-gara harga sewa yang mahal, wanita itu kemudiannya telah membuat perjanjian dengan bosnya di mana bos wanita itu membenarkannya untuk tinggal di dalam tandas di tempat kerja dengan harga sewa 50 yuan (RM30) sebulan.
Dalam gambar yang dikongsikan di media sosial, wanita itu menggunakan katil lipat untuk tidur di dalam tandas berkenaan dan dia turut memasang langsir di dalam tandas itu sebagai pembahagi ruang.

Difahamkan, setakat ini, dia telah tinggal di tandas itu selama sebulan dan dia akan membersihkan tandas itu setiap hari.
Menurut wanita itu, tiada bau busuk dalam tandas tersebut dan dia juga berasa selamat tinggal di situ kerana tempat kerjanya itu berada di bawah pengawasan CCTV 24 jam.
Bos wanita itu yang juga merupakan seorang wanita mengatakan dia faham situasi yang dialami pekerjanya itu dan dia juga pernah membenarkan wanita itu tinggal di rumahnya secara sementara sebelum ini.
Sebelum ini juga, wanita itu pernah mempertimbangkan untuk tinggal di sebuah ruang pejabat yang tidak digunakan dengan sewa 400 yuan sebulan (RM243) namun dia akhirnya memilih tandas itu kerana lokasinya yang lebih dekat dengan tempat kerja.
Akhir bulan ini, bos wanita itu mengatakan dia akan memindahkan stafnya itu untuk tinggal di sebuah bilik yang baru selesai diubah suai di tempat kerja tersebut.
Setelah tular di media sosial di China, ada juga warganet yang mempersoalkan adakah kisah wanita ini tinggal di tandas merupakan kisah yang benar atau hanya rekaan semata-mata.
Namun, wanita itu menjelaskan bahawa ia merupakan kisah benar dan turut mengucapkan terima kasih kepada bosnya kerana membantunya.
Sumber: South China Morning Post