Berhubung dakwaan kes pukul yang membabitkan bekas isteri dan penyanyi Radhi OAG, kedua-duanya telah bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.
Berikutan itu, Nur Shahira Ayu Zahiri meminta penyanyi terbabit membayar sebanyak RM300,000 yang bertujuan untuk keperluan anak, lapor Kosmo!
Katanya, Radhi boleh melunaskan bayaran penuh atau RM1,000 sebulan untuk tidak membebankan penyanyi itu.
“Saya faham situasi Radhi, permintaan untuk anak-anak dan Radhi sudah setuju dengan perkara itu. Selepas ini, kami akan buat hitam putih (dokumen rasmi) untuk tandatangani.
“Sebenarnya Radhi nak beri RM5,000 dan RM500 sebulan, saya rasa tidak cukup untuk dua anak. Saya juga perlu bayar pinjaman kereta dan rumah, selain keperluan baju, makanan, vitamin, tuisyen dan sekolah anak,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas isterinya itu mengesahkan bahawa Radhi ada menawarkan sebuah rumah untuk dia serta dua anak tinggal di rumah itu.
“Untuk apa? Nak suruh dia datang ke? Saya pun ada beli rumah dan kereta sendiri. Saya ada semua itu, minta maaf nak cakap kalau boleh tidak mahu ada apa-apa, untuk anak-anak saja,” katanya selepas prosiding kes di Mahkamah Majistret hari ini.
View this post on Instagram
Nur Shahira mengambil keputusan untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah tanpa melalui perbicaraan kes yang lebih panjang.
Justeru, mahkamah menetapkan 24 Julai bagi sebutan semula kes untuk perkembangan laporan polis yang perlu ditarik balik olehnya.
Mengikut pertuduhan, Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya di parkir Emporis Menara D Kota Damansara pada 19 April 2022.
Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.