Mendiang Steve Jobs nampaknya bukan sahaja meninggalkan ‘tapak’ dalam industri teknologi dunia, beliau juga meninggalkan ‘tapak’ sebenar dalam bentuk sepasang selipar berjenama Birkenstock yang dipakainya pada lewat 70-an serta 80-an.
Baru-baru ini, selipar jenama Jerman itu dilelong hampir AS$200,000 (RM998,250) oleh sebuah firma lelongan yang terletak di California, Amerika Syarikat dan menurut firma berkenaan, harga itu merupakan nilai tertinggi yang diletakkan bagi sepasang selipar.
“Material gabus dan jute mengekalkan kesan kaki Steve Jobs, yang telah dibentuk selepas bertahun-tahun digunakan.” menurut Julien’s Auctions dalam penyenaraian di laman webnya.
Selipar lusuh itu telahpun dibeli oleh seorang pembeli yang tidak didedahkan dalam bentuk fizikal serta non-fungible token (NFT).

Menurut laman web firma tersebut, Steve Jobs memakai selipar ini semasa detik-detik penting dalam sejarah Apple.
“Pada tahun 1976, beliau memulakan penubuhan teknologi Apple dalam sebuah garaj di Los Altos bersama pengasas bersama Apple, Steve Wozniak dan sekali-sekala memakai sandal ini.” tulisnya.
Sebagai info, Steve Jobs meninggal dunia pada tahun 2011 selepas bertarung dengan kanser pankreas.
Sumber: The Guardian
Baca: “Ironi betul!” – Surat ‘Reject’ Autograf Steve Jobs Dilelong Pada Harga RM 2.1 Juta!

