Selepas tiga tahun sekatan akibat pandemik Covid-19, China akan membuka semula sempadan dan membenarkan penduduk mereka ke luar negara bermula 8 Januari depan.
Menurut laporan CNBC, Malaysia antara salah sebuah negara dalam senarai 10 teratas yang dicari warga China di Trip.com Group untuk melancong ke luar negara.
Data pelancongan yang diperoleh dari platform tersebut menunjukkan banyak laman web pelancongan menjadi tumpuan selepas setengah jam pengumuman kelonggaran bercuti itu disiarkan oleh kerajaan China, Isnin lepas.
Negara-negara lain yang turut berada dalam senarai tersebut termasuklah Jepun, Thailand, Singapura, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Hong Kong dan Australia.
Menerusi laporan The Star pula, dilaporkan bahawa 1 juta warga China dijangka tiba ke Malaysia pada 2023.
Ia berikutan sebagai persiapan saat-saat akhir warga China melancong ke luar negara bersempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut pada penghujung Januari ini, biarpun kadar jangkitan Covid-19 di negara itu sedang meningkat mendadak.
Sementara itu, pelancong asing tidak lagi perlu menjalani perintah kuarantin wajib apabila tiba di negara itu, sebaliknya hanya buat ujian RT-PCR.
Pembukaan sempadan ini bagaimanapun mencetuskan kebimbangan banyak pihak, terutama di peringkat global apabila melihat situasi terkini kes Covid-19 di China.
Beberapa negara kini sedang giat menyiapkan garis panduan bagi kemasukan warga China.
Jepun telah mengumumkan bahawa semua pelancong dari China mesti membuktikan bahawa ujian Covid-19 mereka negatif semasa ketibaan, atau kuarantin selama tujuh hari.
Manakala India dan beberapa negara lain turut menggariskan prosedur yang sama ke atas warga China yang masuk melancong ke negara mereka.
Malah, bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad turut meluahkan kerisauan dengan situasi yang sedang berlaku di China.
With more than 50% of Chinese citizens positive on landing at Milan Airport, global alarm bells and coordination need to be louder. India, Japan & the US requiring a negative Covid test from China.
Is Malaysia ready..?
Not something to ignore…but not overly alarmist though. https://t.co/LxUg9ZtATL
— Dzulkefly Ahmad (@DrDzul) December 29, 2022
Diharapkan kerajaan Malaysia di bawah KKM bersiap sedia dengan prosedur sepatutnya untuk menyambut pelancong China ke Malaysia.
Baca: “Kes tiba-tiba meningkat” – Ini 5 Negara Yang Dijangka Ubah Polisi Travel Kerana Covid-19