Ketika pemandu e-hailing yang dikenali Amir, 42, (bukan nama sebenar), menerima tempahan luar talian bernilai RM700 untuk memandu penumpang warga asing dari Bukit Kayu Hitam ke Pulau Pinang hujung tahun lalu, dia tidak fikir panjang dan terus terima tugas itu.
Katanya, dia tidak tahu bahawa dia tengah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 apabila polis menahannya bersama 10 warga Myanmar tanpa izin di dalam kereta.
Amir kemudiannya dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun selepas didapati bersalah atas pertuduhan itu Disember lalu.
“Apabila saya menerima pesanan, mereka memberitahu saya mereka (penumpang) mempunyai dokumen sah dan pasport, saya benar-benar fikir saya tidak melakukan kesalahan sama sekali.
“Sebab itu apabila polis menarik saya, saya terkejut kerana saya ditahan dan kemudian didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia, sekarang saya tahu saya sepatutnya lebih berhati-hati ketika menerima tempahan,” katanya kepada NST.
Walaupun Amir kesal dengan kecuaiannya itu, dia berkata masa menjalani hukuman di penjara ini ada satu kelebihan.
“Di luar sana, saya memandu penumpang selama 12 jam sehari pada 6 hari seminggu. Saya hampir tidak meluangkan masa bersama keluarga. Ironinya, berada di penjara mengeratkan hubungan saya dengan keluarga. Isteri dan anak-anak saya sangat merindui saya.”
“Berada di penjara juga mendekatkan saya kepada Tuhan. Saya dapat solat tepat waktu dan membaca al-Quran setiap hari di sini.”
“Saya menasihatkan semua pemandu e-hailing berhati-hati semasa mengambil pesanan luar talian, dan pastikan untuk mengenal pasti siapa penumpang anda.”
Seorang lagi banduan, Fiqa, 51, (bukan nama sebenar) mempunyai nasib yang sama, berikrar untuk tidak akan mengangkut orang yang tidak dikenali lagi.
Menceritakan pengalamannya, Fiqa mendakwa dia mengambil penumpang dari stesen bas Changlun untuk memandu mereka ke Jitra tanpa fikir apa-apa.
“Ketika saya ditahan, penumpang saya masih belum berada di dalam kereta saya. Kemudian, saya lihat mereka telah ditahan polis dan saya turut dibawa lari,” dakwa Fiqa, ibu tunggal kepada tiga anak.
Harap dapatlah kita jadikan kes ini sebagai pengajaran buat kita semua terutamanya kepada mereka yang melakukan perkhidmatan pemandu e-hailing ini.
Baca : “Diugut makan babi & tikus” – Mangsa Sindiket Pemerdagangan Manusia Syukur Dapat Pulang Malaysia