Semalam, sidang media tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story telah diadakan di Dadi Cinemas, Pavillion Kuala Lumpur yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia Ke-10 iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau telah menyifatkan keseluruhan dialog dan penceritaan filem tersebut tidaklah tepat 100 peratus namun, isu dan storyline yang dibawa adalah benar.
Ia bukan satu tugas yang mudah untuk merumuskan kejadian yang menimpanya lebih 20 tahun lalu dalam sebuah filem namun Anwar terharu kerana kisahnya diangkat untuk tontonan umum.
“Sebagai orang yang diceritakan, tentunya saya dan Azizah tersentuh. Kisah tentang buah pala memang betul dan bukan direka-reka,” jelasnya.
Anwar turut memuji hasil karya yang dihasilkan dari negara jiran, Indonesia itu yang disifatkan pintar dan hebat kerana mampu meringkaskan penceritaan selama 23 tahun kepada filem berdurasi kira-kira 90 minit itu.
Babak dengan Tun M bukan rekaan
Pada masa yang sama, PMX juga tidak menafikan babak yang berlaku antara beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipaparkan menerusi filem ini juga, adalah benar.
“Perbualan itu telah dirumuskan dengan tepat. Walaupun tidak 100% sama tapi konteks yang dibawa adalah benar dan segala tawaran yang diberikan juga adalah benar,” ujar PMX.
Menurut Anwar, beliau telah memberikan kebebasan untuk penggiat seni berkarya tanpa memikirkan tentang isu politik yang dibangkitkan.
Tambahnya, filem tersebut telah pun dijalankan sebelum beliau bergelar Perdana Menteri Malaysia dan proses temu bual bersama individu yang terbabit juga tidak dapat dilakukan secara menyeluruh.
Dalam pada itu, isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang turut hadir sewaktu tayangan perdana filem tersebut memberitahu, karya ini sedikit sebanyak dapat menepis persepsi masyarakat yang melabel Anwar sebagai seorang penjenayah.
Anwar The Untold Story mengisahkan tentang jatuh bangun perjuangan Anwar dalam dunia politik terutama melawan rasuah yang mengambil latar masa sekitar tahun 1993 sehingga September 1998. Filem berkenaan bakal ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia bermula 18 Mei tahun ini.
Sumber : mStar
Baca : “Saya tolak” – Farid Kamil Akui Pernah Disogok Sebanyak RM5 Juta Oleh Ahli Politik