Setelah hampir 3 tahun berlalu, keputusan akhirnya telah terjawab apabila remaja yang menyebabkan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang telah meragut 23 nyawa itu didapati bersalah.
Pun begitu, Mazzaini Muda ibu kepada salah seorang mangsa, Allahyarham Ahmad Rijal Mohammad Rodzi telah pun memaafkan si pelaku dan redha dengan nasib yang menimpa keluarga mereka.
Saya maafkan dan saya minta semua doakan yang terbaik untuk dia. Mungkin di dalam tahanan nanti dia akan berubah dan kita doakan dia menjadi lebih baik, insan yang baik dan berguna.”
Katanya kepada Harian Metro lagi, keluarganya menjangkakan akan ada hukuman dikenakan namun menyerahkan semuanya kepada mahkamah untuk membuat keputusan dengan hati yang terbuka.
Malah, sebagai keluarga mangsa, dia juga yakin sepanjang berada di dalam tahanan, remaja berkenaan juga sudah melalui proses pengajaran terbaik dalam hidupnya.
“Perkara sudah berlaku dan hukuman juga sudah dijatuhkan. Kita kena terima dan yang penting doakan dia jadi manusia yang baik. Nabi juga ampunkan umat dan ajar kita maafkan sesama manusia. Saya tidak ada apa-apa perasaan dendam, benda juga sudah berlaku.”
Mazzaini akui, dia masih rindu dengan arwah, mereka sekeluarga kerap ziarah pusara arwah di Putra Perdana, berdekatan dengan kediaman mereka.
Tidak dinafikan sebagai ibu perasaan itu memang tak dapat dibendung, tapi redha dengan kejadian yang menimpa dan terima hakikat bahawa kehilangan orang tersayang.
“Saya juga tidak hadir untuk mendengar keputusan. Tak apalah, kita doakan yang terbaik untuk dia dan kita semua,” katanya.
Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mensabitkan seorang remaja lelaki bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, hampir tiga tahun lalu.
Baca : [TERKINI] Remaja Bakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Didapati Bersalah!