Awal bulan ini, sebuah insiden tikam di Hospital Selayang telah berlaku yang difahamkan berpunca daripada seorang individu yang tidak siuman.
Hari ini, lelaki yang bertindak menikam seorang pesakit di Hospital Selayang itu diarah menjalani pemeriksaan psikiatri (mental) oleh Mahkamah Sesyen.
Menurut laporan Kosmo!, Hakim Nor Rajiah Mat Zin memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal supaya tertuduh Mohd. Khairul Kamul, dihantar menjalani pemeriksaan psikiatri berikutan keadaan mentalnya yang tidak stabil.

“Sebelum ini tertuduh juga telah ditahan dan menerima rawatan di Jabatan Psikiatri Hospital Selayang sejak 15 Februari 2023,” katanya.
Dalam pertuduhan, Mohd. Khairul didakwa telah sengaja mendatangkan cedera parah terhadap V. Satish Rao di Zon Kuning Bahagian Kecemasan Hospital Selayang pada 14 Februari lalu.
Difahamkan, semasa prosiding dibacakan tertuduh hanya mengangguk tanda faham, namun tidak menyatakan sebarang pengakuan tetapi tertuduh hanya mengatakan dia berhalusinasi ketika kejadian.
“Saya tidak sedar dan di bawah halusinasi serta terdengar bisikan,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak dan pada masa yang sama tertuduh juga tidak dibenarkan diikat jamin.
Baca: KP Hisham Respon Kes Pesakit Mental Tikam Orang Awam Di Hospital Selayang