Sebelum ini lagunya yang berjudul Cinta Sampai Mati menjadi fenomena, nama penyanyi Indonesia Raffa Affar kini sekali lagi menjadi tumpuan netizen setelah muncul dengan single cover lagu Tiara, nyanyian asal kumpulan Kris selepas melakukan beberapa cover lain seperti Buih Jadi Permaidani dan Mencari Alasan daripada kumpulan Exists.
Lagu Tiara itu memberikan impak kepada warganet setelah ramai pengguna TikTok melakukan cover itu sebagai bunyi latar belakang video mereka. Biarpun versinya mendapat sambutan hangat, ada juga beberapa pihak mengecam versi tersebut.
Pendapat masing-masing
Oleh sebab itu, ketika ditemubual oleh Harian Metro, Raffa enggan melatah dengan kritikan itu dan menyatakan itu adalah hak individu untuk menilai dan memberikan pendapat masing-masing.
“Semua orang bebas berpendapat. Jadi, saya tak boleh memaksa orang untuk suka atau tidak. Kalau mereka suka alhamdulillah, kalau tak ada yang suka berterima kasih juga. Versi saya ini juga adalah arahan daripada syarikat rakaman dan sudah dipersetujui oleh penerbit. Jadi, saya tak buat sesuka hati.
“Saya tahu lagu Tiara itu popular pada 1991. Saya tahu daripada syarikat rakaman dan saya pun mendengarkannya. Jadi, saya suka lagu yang mendayu-dayu sebegitu. Saya cuba membuat versi ‘cover’ sendiri.”
Tambahnya, dia buat cover lagu Tiara itu adalah kerana lagu genre Slow Rock pada tahun 1991 itu dekat dalam hati selain menyifatkan liriknya yang berpuitis.
“Lagu ini dekat dalam hati saya dan saya berasa bahagia apabila dapat menyanyikan lagu ini. Lirik lagu Tiara ini sangat puitis dan saya mahu dengarkan lagunya yang lain.”
Bakal duet dengan Aiman Tino & Khai Bahar?
Dalam pada itu, Raffa menceritakan yang dia merupakan peminat kumpulan Exist dan kini dalam perancangan untuk membuat cover version lagu daripada kumpulan Dinamik dan Lestari.
“Penyanyi atau band yang saya suka adalah Exists sebab saya pernah ‘cover’ dua lagu mereka. Pada masa sama, saya ada perancangan untuk ‘cover’ lagu daripada kumpulan Dinamik dan Lestari.”
“Kalau nak tahu, saya juga suka kumpulan Floor 88 kerana lagu berjudul Hutang itu sangat terkenal di Indonesia. Insya-Allah, saya juga akan berduet dengan penyanyi Malaysia iaitu Aiman Tino atau Khai Bahar. Jadi doakan semoga perancangan ini dapat dicapai.”
Dah dapat kebenaran M Nasir
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Hayat Kreatif Studio, Aidilhayat Omar berkata, ketika ini menjadi trend lagu Malaysia dirakamkan semula oleh penyanyi Indonesia.
“Rupanya tanpa disedari, pengaruh lagu malar segar daripada pencipta negara ini, boleh pergi jauh hingga ke negara seberang. Kami yakin pemilihan lagu Tiara adalah tepat. Jumlah tontonan di saluran YouTube Raffa mencecah 300,000 setiap hari. Selepas Raffa, ramai yang sudah mula merakamkan semula atau ‘cover’ lagu ini di Indonesia.
“Terima kasih kepada Datuk M Nasir dan Luncai Emas Sdn Bhd dengan kebenaran yang diberikan untuk merakamkan semula lagu Tiara. Proses pelesenan hak cipta dipermudahkan oleh pihak Luncai Emas. Dengan kerjasama ini, Hayat Kreatif Studio juga berharap trend merakamkan semula lagu malar segar popular seperti Tiara ini akan berterusan kerana ia dapat memperkenalkan kembali lagu lama kepada generasi muda hari ini.”
Tambahnya, lagu Tiara adalah single kedua hasil kerjasama di antara Hayat Kreatif Studio dengan Botram Media Entertainment manakala, hak cipta lagu ini adalah di bawah Luncai Emas Sdn Bhd.
Baca : [VIDEO] Penangan Big Stage, Ernie Zakri ‘Belanja’ Lagu Bengawan Solo Di TikTok!