Penyanyi yang terkenal dengan lagu Teringin, Shima mengejutkan ramai terutama dalam kalangan peminat apabila tular video menampilkan imej terbarunya sudah tidak berhijab lagi.
Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 55, membuat pengakuannya yang kini tidak lagi bertudung atas faktor kesihatan.
Memetik laporan Harian Metro, penyanyi veteran itu menyatakan perbuatan ini bukan dilakukan suka-suka tetapi dibuat atas nasihat doktor.
Artikel berkaitan: “Bakar ajelah baju seksi” – Peminat Persoal Niat Shima Jual Baju Seksi Selepas Berhijrah
“Ia kerana faktor kesihatan sebab saya selalu kena migrain. Saya tak boleh kena panas, nanti sakit itu menyerang. Bahagian leher pula selalu naik ruam panas. Letak ubat pun lambat nak sembuh.
“Saya sensitif dengan panas dan sangat alergik. Sakit ini akan menyerang. Suami pun tahu perkara ini. Saya pun dah tiga tahun tak bertudung kerana masalah penyakit ini,” ulasnya.
Tak peduli kecaman
Sementara itu, Shima akui kecewa apabila perniagaannya tidak mendapat sambutan namun mendapat perhatian selepas tular isu buka tudung.
“Bila kita buat benda baik, berniaga dari rumah, mereka (masyarakat) tak support. Bila saya nak cari duit nak buat bisnes kecil-kecil dari rumah seorang pun tak pedulikan.
“Saya jual mee rebus dan mee jawa secara online pun tiada sambutan. Bila macam ini, mereka riuh satu kampung,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini dia mengalami kesakitan dan bergelut sendirian untuk ke hospital tanpa wang, namun tiada siapa peduli.
Sedar akan kritikan yang dilemparkan netizen, Shima bagaimanapun berlapang dada dengan setiap komen diberikan kepadanya.
“Saya tak ambil peduli pun dengan kecaman. Nak kecam, kecamlah. Saya bukan budak lagi. Saya tak makan dek kecaman, tak berkudis pun,” katanya.
Pada Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyampaikan sumbangan untuk membantu urusan harian dan perubatan kepada Shima yang sedang menghidap penyakit bronchitis.
Sumber: Harian Metro