Penyanyi senior ternama, Datuk Nora Ariffin menarik perhatian netizen apabila mengumumkan di IG Story miliknya bahawa dia akan memohon perceraian kali kedua dengan suaminya, Dr Rushdi Ramli.
Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin, 52 mendakwa permintaan itu sebagai tanda akur dengan permintaan anak tirinya yang sudah lama mengharapkannya dan suami berpisah.
Artikel berkaitan: “Boleh datangkan aib” – PU Syed Tegur Nora Guna AI ‘Hidupkan’ Gambar Arwah Suami
Artikel berkaitan: “Terima kasih atas gelaran b*tch” – Nora Dakwa Terima Hinaan Dari Keluarga Suami?
Dalam hantaran itu, pelantun lagu Di Persimpangan Dilema itu mengharapkan keputusannya dapat menghentikan segala kata-kata fitnah dilemparkan terhadapnya dalam media sosial.
“Saya minta maaf kerana terima dan rujuk kembali. Saya akan penuhi permintaan Aya dari dulu lagi untuk kami bercerai. Insya-Allah, Ustazah Rose akan kembali monogami seperti yang diinginkan.
Saya sedang memujuk Ustaz untuk ceraikan saya buat kali kedua supaya tiada kata-kata fitnah, caci maki, hasut menghasut masyarakat membenci dan memburukkan nama saya dalam media sosial,” tulisnya.
Malah, Nora turut memberitahu dia sudah pun memadam gambarnya berdua dengan suami di media sosial miliknya.
Dalam pada itu, menerusi posting berbeza, penyanyi itu turut memberi bayangan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit yang didakwa memfitnahnya dalam media sosial.
Sebelum ini, kontroversi antara Nora dan anak tirinya yang dikenali sebagai Aya Shahirah Rushdi tercetus selepas penyanyi itu mendedahkannya digelar wanita sundal dan kata-kata tidak baik oleh wanita itu.
Sumber: Berita Harian