Seorang pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bertindak berani apabila terjun ke dalam tasik bagi menyelamatkan seorang remaja perempuan yang cuba keluar daripada kereta yang hampir tenggelam, semalam.
Menceritakan detik cemas itu, Ahmad Nur Irfan Amiruddin, 22, yang merupakan pelajar jurusan Kerja Sosial berkata, kebetulan dia berada di kawasan tasik bersama dua rakannya untuk mencari checkpoint program universiti sebelum terlihat sebuah kereta hampir tenggelam.
“Waktu tersebut dalam jam 10.30 pagi, kami terlihat ada sebuah kereta warna biru di tengah-tengah tasik.
“Kawan-kawan saya hubungi Polis Bantuan dan saya terus selamatkan sebab saya nampak ada budak yang keluar daripada kereta tersebut. Jadi saya terus pergi ke budak tersebut dan tarik dia ke darat.
“Perasaan saya waktu itu takut, cemas dan risau semua ada sebab saya risau tentang keselamatan mereka,” katanya.
Artikel berkaitan: “Tak boleh lari, di akhirat akan ditanya” – 5 Warga Pakistan Terima Penghargaan Selamatkan Mangsa Kebakaran Paip Gas
Artikel berkaitan: “Salute dengan brother ni” – Lelaki Dipuji Redah Api Selamatkan Sekumpulan Kucing
Menerusi perkongsian pihak UNIMAS di Facebook, Ahmad Nur Irfan merupakan Pegawai Kadet Kor SISPA telah menerima latihan sebagai first responder oleh Pusat Kawalan Operasi UNIMAS (PKOT) dan Kor SISPA.
Justeru, latihan-latihan tersebut sedikit sebanyak memberi pengalaman kepada Irfan untuk menghadapi situasi kecemasan.
“Hari ini, Ahmad Nur Irfan bin Amirrudin, pelajar jurusan Kerja Sosial daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UNIMAS menjadi seorang wira apabila berjaya menyelamatkan salah seorang mangsa kemalangan yang berlaku di tasik UNIMAS.
“UNIMAS ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Irfan dan semua orang awam yang terlibat dalam operasi menyelamat pagi tadi (semalam).”
Terdahulu, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang merupakan OKU autistik berjaya diselamatkan, namun ibunya yang memandu kereta jenis Perodua Axia disahkan meninggal dunia di lokasi.
Sumber: Facebook