Seorang lelaki yang tular selepas diberkas kerana didakwa mencabul seorang wanita di dalam tandas awam di sebuah padang permainan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kluang hari ini.
Tertuduh, Muhamad Sopor @ Nasir, 34, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mujib Saroji.
Berdasarkan pertuduhan, Muhamad Sopor yang juga seorang penganggur didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berumur 24 tahun dengan tujuan mencabul kehormatannya.
Artikel berkaitan: Lelaki 34 Tahun Dicekup Geng Anak Muda, Cuba C*bul Wanita Di Tandas Awam
Perbuatan itu dilakukan di tandas awam wanita Laman Kreatif Kampung Melayu kira-kira jam 5.30 petang, pada Selasa lalu.
Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Suniza Nan Yan yang mengendalikan pendakwaan kemudiannya menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang jaminan dan memohon 12 Januari 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Ketika merayu jumlah ikat jamin itu dikurangkan, Muhamad Sopor menyalahkan mangsa yang tersalah masuk bilik air.
“Saya minta kurangkan wang jaminan kerana masih mentah dan mata kanan lebam kerana ditumbuk oleh wanita itu. Dia yang masuk bilik air saya, saya pula yang disalahkan,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan dikekalkan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan 2 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sumber: Kosmo!