Selepas memfailkan nusyuz terhadap isterinya, Syamsul Yusof semalam mengadakan sebuah sidang media bagi menjawab segala persoalan berkenaan hal rumah tangganya dengan pelakon, Puteri Sarah.
Pernikahannya dengan Ira Kazar sebelum ini mendapat perhatian netizen, rata-rata marah dengan kedua-dua mereka malah ada juga yang menggelarkan Ira Kazar itu sebagai penyondol kerana telah mengganggu kebahagiaan Syamsul dan Puteri Sarah.
Ibunya, Datin Patimah Ismail turut meluahkan kekecewaan terhadap anak lelakinya itu dengan memuat naik beberapa posting di media sosial sebelum ini.
“Sekiranya agama Islam menetapkan perlu meminta kebenaran ibu adalah rukun wajib untuk berkahwin, saya akan berbuat sedemikian,” kata Syamsul.
Menurut laporan Berita Harian, pengarah filem Mat Kilau itu berkata dia tiada niat membelakangi ibunya itu dan soal berkahwin dua adalah urusannya dengan Yang Maha Esa.
Dia bagaimanapun, tetap berlapang dada dan memohon maaf kepada ibunya selain menyatakan masalah rumah tangga yang dihadapi bersama isteri pertama, Puteri Sarah Liyana adalah ujian bersama.
“Saya faham sebagai ibu mesti sangat sedih. Saya juga faham ibu terluka, tetapi kalau boleh jangan dikongsikan dalam media sosial.
Ini bukan permainan hendak suruh sokong isteri kedua atau pertama, macam saya cakap ibu tak tahu cerita sebenar. Saya minta maaf ibu, masa akan menentukan segala-galanya,” katanya.
Selain itu, Syamsul turut berkata dia masih belum mampu untuk memenuhi permintaan ibunya yang menuntut untuk menceraikan Puteri Sarah.
“Ibu cakap saya kena sihir dan macam-macam lagi, tetapi saya sudah buat solat istikharah. Orang tuduh Ira hantar sihir, tetapi bukan, keputusan ini (kahwin dua) saya yang buat,” katanya lagi.
Sebagai info, Syamsul sebelum ini memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.