Kematian tragis yang menimpa seorang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah di Papar, Zara Qairina Mahathir masih lagi menjadi bualan hangat orang ramai yang ingin mengetahui punca sebenar kes tersebut.
Rentetan kes ini menjadi kecoh sehingga ada yang memetik beberapa nama pentabiran sekolah berkenaan, seorang bekas pengetua tampil menafikan bahawa beliau terbabit dalam tragedi menimpa pelajar sekolah itu.
Datin Rosnih Nasir menjelaskan bahawa beliau sudah pun bersara dan tidak terbabit dalam sebarang urusan pentadbiran sekolah berkenaan ketika insiden berlaku.
Artikel berkaitan: Selain Zara Qairina, Bekas Guru Dedah Rupanya Ada Kes Buli Lain Di Sekolah Sama?
Artikel berkaitan: “Siasatan belum selesai” – Keluarga Arwah Zara Qairina Terkejut, Dakwa Beberapa Pelajar Dalam Proses Pindah Sekolah
“Saya terpanggil memberi penjelasan berhubung fitnah dan kekeliruan yang tular di media sosial melibatkan nama saya dalam insiden menyayat hati membabitkan Allahyarhamah adik Zara Qairina.
“Saya berkhidmat sebagai Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha dari 10 Mac hingga 22 November tahun lalu sebelum bersara daripada perkhidmatan.
“Maka, saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan yang mengaitkan saya secara langsung atau tidak langsung dengan peristiwa tragik yang berlaku baru-baru ini,” katanya.
Sebagai seorang ibu dan pendidik, beliau juga menyatakan rasa sedih dan turut mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar terbabit.
Dalam pada itu, Rosnih juga menyatakan sokongan penuh terhadap siasatan polis berhubung kes berkenaan.
“Saya percaya kebenaran akan terserlah apabila siasatan selesai,” katanya yang mengakhiri kenyataan dengan tanda pagar #justiceforzara.
Semalam, pihak polis menyatakan masih menjalankan siasatan dan meminta orang ramai bertenang serta tidak membuat sebarang spekulasi.
Sumber: Facebook