Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Persiaran Senawang 1 meninggal dunia pada malam tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada tiga orang.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan Aisar Azim Abdullah, 17, menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.23 malam tadi ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.
Menurutnya, mangsa adalah penunggang motosikal Honda Vario yang dinaiki bersama rakan lelakinya berusia 13 tahun dan punca kematian disebabkan poly trauma.
Artikel berkaitan: “Saya menyesal” – Kakak Pemandu Honda Jazz Mohon Maaf, Akui Emosi Buat Posting Pertahankan Adik
Artikel berkaitan: “Saya akan tampil sebagai saksi demi keadilan mangsa”- Saksi Kongsi Detik-detik Ketika Kemalangan Akibatkan 2 Remaja Maut
Bakal ambil tindakan undang-undang
Ibu kepada mangsa, Nurha’afza Salwa Hazizan, 41, berkata mereka akan mengambil tindakan undang-undang ke atas individu bertanggungjawab terhadap nahas tersebut.
Katanya, tindakan itu diambil memandangkan anaknya sudah terkorban dalam nahas tersebut, sementara dua lagi rakan anaknya meninggal dunia di hari kejadian.
“Kita memang dah ada peguam yang hubungi nak tawarkan khidmat guaman,” katanya.
“Saya ampunkan dosa dia, halalkan susu”
Mencerita mengenai keadaan anaknya yang kritikal sebelum disahkan meninggal dunia malam tadi, dia menyatakan sudah pun reda sejak melawat anaknya itu di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJ.
“Saya dapat kekuatan sebabnya malam tadi doktor dah beritahu denyutan jantung dia dah turun sampai 38.
“Saya dan anak-anak datang ke hospital untuk bacakan surah Yasin. Apa yang jadi, saya reda.
“Saya dah cakap dengan dia, saya tak mahu seksa dia lagi dan dah halalkan susu dan ampunkan dosa dia,” ujarnya.
Dalam pada itu, abang Aisar, Mohammad Aiman Abdullah, 20, berkata, dia tidak menyangka keengganan Allahyarham untuk membeli baju raya merupakan petanda dia akan pergi selama-lamanya.
“Dia cakap Alang tak mahu raya sebabnya nak duduk rumah saja tidur sedangkan selama ini dialah yang paling teruja berkenaan beli baju raya sedondon,” katanya.
Difahamkan, jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan jam 12.40 tengah malam di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah Taman Zaitun Indah, Sikamat, Seremban.
Sumber: Sinar Harian